KUALA
TERENGGANU - Peningkatan jumlah pegawai dan anggota polis yang bersara awal
kerana tekanan merupakan satu masalah yang serius dan perlu ditangani segera.
Timbalan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia,
Hussin Awang Ngah berkata, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kementerian
Dalam Negeri (KDN) perlu mencari penyelesaian terbaik, bagaimana dan kenapa
perkara ini berlaku.
Menurutnya, PDRM perlu melihat perkara ini sebagai
satu ancaman kepada pasukan dan perlu kajian menyeluruh tentang permasalahan
pegawai dan anggota sehingga ke akar umbi.
“Sebagai bekas anggota polis, saya melihat ia
berlaku atas beberapa faktor, antaranya ialah kekurangan anggota, berbanding
dengan nisbah pertumbuhan penduduk negara kini. Ia menyebabkan tekanan kerja
terutamanya kepada anggota berpangkat koperal hingga sarjan mejar kerana mereka
terpaksa membuat pelbagai kerja serta tugas.
“Selain itu, saya melihat kekurangan daripada
aspek logistik dan peralatan yang menjadi penyebab utama kerana kekurangan
peralatan dan ketidakselesaan semasa bertugas,” katanya yang juga Pengerusi
Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan
Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM, Datuk Shah Gzali Khan Shahadat
yang menyatakan tekanan akibat terpaksa bekerja siang malam bagi mengekang
kejadian jenayah, dikenal pasti antara punca 2,000 anggota PDRM memilih untuk
meninggalkan perkhidmatan setiap tahun.
Fenomena baharu itu melibatkan pegawai dan anggota
daripada pelbagai pangkat berumur antara 50 hingga 55 tahun sejak dua tahun
kebelakangan ini. Berbanding beberapa tahun lalu, hanya 500 hingga 600 anggota
PDRM bersara sebelum usia persaraan 60 tahun.
Mengulas lanjut, Hussin berkata, kerenah birokrasi
dan campur tangan politik juga menjadi penyumbang utama, yang mana ia
sepatutnya tidak berlaku.
Katanya, dalam soal keselamatan, sepatutnya tiada
amalan birokrasi dan campur tangan mana-mana pihak kerana ketegasan dalam
perlaksanaan penguatkuasaan undang-undang tidak perlu dipertikaikan oleh
mana-mana pihak.
“Pembangunan dalaman pasukan hendaklah menyeluruh
sampai ke akar umbi. Selain itu, soal kebajikan anggota sangat perlu. Suasana
kerja yang baik serta kebajikan yang cukup, anggota akan merasa gembira dalam
menjalankan tugas dan tanggungjawab.
“Pada pandangan saya, PDRM perlu mencari
penyelesaian awal sebelum ia menjadi barah dalam pasukan. Ini kerana kita akan
kehilangan besar sekiranya anggota-anggota yang berpengalaman lebih 30 tahun
keatas ini pergi sebelum masanya kerana mereka inilah aset pasukan,"
katanya.
“Dengan pelbagai cabaran dan ancaman yang dihadapi
kini, rasanya sudah sampai masanya soal keselamatan dalam negara, khususnya
PDRM diletakkan dalam satu kementerian khas seperti ATM,” katanya.