Isnin, 21 Disember 2015

Polis pantau premis jual vape

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu akan membuat pemantauan di semua premis menjual rokok elektronik (vape) yang ada di negeri ini bagi memastikan tiada unsur-unsur penyalahgunaan bahan terlarang terutamanya dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan di seluruh premis jualan cecair vape berikutan ia kini menjadi satu trend yang semakin membimbangkan.

“Bagaimanapun, setakat hari ini kita tidak menerima sebarang maklumat berhubung penyalahgunaan vape di sini, dan tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan.


“Bagaimanapun, kita tetap akan membuat pemantauan serius melibatkan keseluruhan premis jualan vape bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menyalahgunakan bahan terlarang terutamanya dadah,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Pembukaan Pusat Gimnasium Ibu Pejabat Polis (IPK) Terengganu di Dewan Integriti IPK, semalam.

Pada masa sama, Rosli memohon kerjasama orang ramai agar dapat menyalurkan sebarang maklumat berhubung penyalahgunaan vape kepada polis agar tindakan segera dapat dilaksanakan.

“Polis akan terus mengadakan serbuan jika menerima maklumat berhubung penyalahgunaan vape ini kerana gejala menghisap vape sudah menular dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda,” katanya.

Rosli berkata sedemikian ketika diminta mengulas berhubung rampasan sebanyak 199 botol cecair vape dipercayai mengandungi dadah di sebuah premis di Tanjung Tokong, Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pusat gimnasium yang dibuka di IPK Terengganu ini merupakan inisiatif pihaknya untuk memberi peluang kepada warga polis agar sentiasa menjaga kesihatan.

“Kemudahan gimnasium yang baru dibuka ini diharap mampu membantu warga IPK mengamalkan gaya hidup sihat seharian dan dapat mengelak daripada penyakit berbahaya terutama obesiti.

“Selain itu, kita juga akan menganjurkan program berbentuk kesihatan seperti program senamrobik setiap hari Ahad, selain program kesihatan berbentuk larian dan jalan kaki di luar kawasan IPK seperti stadium atau pusat-pusat rekreasi,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...