Khamis, 28 Januari 2016

11,274 Pegawai, Anggota Polis Hadapi Masalah Obesiti

KUALA LUMPUR: Seramai 11,274 daripada 109,304 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikesan mengalami masalah obesiti, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah.

"Ia (mereka yang obesiti) melibatkan 1,401 pegawai dan 9,873 anggota PDRM di seluruh negara," katanya dalam sidang media sempena pelancaran kem 'Trim and Fit 2016' di Pusat Latihan Polis, di Jalan Semarak, di sini, Rabu.
Katanya, kem ini sudah lama dibincangkan di peringkat pengurusan dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan warga PDRM lebih berketerampilan, segak dan yakin, sama seperti badan beruniform lain.

"Maka untuk mengatasi masalah, kami mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan kem berkenaan bagi mengatasi masalah obes dalam kalangan PDRM," katanya.
Beliau berkata kem berkenaan bermula hari ini dan dijalankan selama enam bulan sehingga Jun ini sebagai projek perintis PDRM yang melibatkan seramai 35 peserta PDRM daripada pelbagai pangkat. 
"Saya sendiri antara 35 peserta yang menyertai kem ini dan akan dipantau secara harian serta bulanan...acara harian kem ini melibatkan senaman di gimnasium selama sejam lima kali seminggu manakala acara bulanan pula disusun mengikut bulan.
"Selain itu, acara yang bakal diadakan ialah aktiviti berkayak pada bulan depan, aktiviti akua zumbarobik pada April dan mendaki gunung pada bulan terakhir kem ini," katanya.
Zulkifli berkata jika kem itu berjaya selepas berakhirnya tempoh enam bulan nanti, ia akan turut diperluaskan dalam kalangan warganya di seluruh negara yang turut bekerjasama dengan jabatan kesihatan di setiap negeri.
Pada 6 Januari lepas, PDRM telah melancarkan program 'Trim and Fit 2016' untuk warganya bagi memastikan tahap kesihatan pegawai dan anggotanya menjadi lebih baik. -- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...