Rabu, 27 Januari 2016

Sokong Kumpulan Pengganas: Pembantu Taska Agama Dipenjara Dua Tahun

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Seorang pembantu taska agama dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Paduka Azman Abdullah memerintahkan tertuduh Amir Azlan Zainudin, 50, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Okt 2014.
Azman berkata selain mengambil kira faktor umur, pengakuan dan keinsafan tertuduh, mahkamah turut mempertimbangkan faktor kepentingan awam yang mengutuk aktiviti keganasan.


"Ini (keganasan) adalah satu fenomena yang meletakkan negara (Malaysia) dan seluruh dunia dalam keadaan berjaga-jaga, rakyat juga menjadi resah.

"Tertuduh mempunyai tanggungjawab terhadap anak dan sepatutnya menumpukan kepada tanggungjawab untuk membesarkan anak dan tidak sepatutnya ke luar negara," katanya.

Hakim menasihatkan Amir Azlan supaya menganggap tangkapan terhadapnya sebagai hikmah dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Amir Azlan didakwa cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki, untuk memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan pengganas itu.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Hakim Sdn Bhd, Jalan Zikron E7/E, Seksyen 7, Shah Alam pada 10.50 malam, 13 Okt 2014, mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu. BERNAMA

Bersambung: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...