KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Sekumpulan
lelaki bersenjatakan pistol dan parang menyamun dua pekerja syarikat
pengedar emas dan melarikan wang tunai RM1.6 juta di Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Insiden berlaku pada pukul 10 pagi ketika kedua-dua pekerja
itu termasuk seorang pengawal keselamatan dalam perjalanan menghantar wang
jualan emas milik syarikat itu ke sebuah bank di Taman Desa di sini.
Ketua Polis Daerah
Brickfields ACP Sharul Othman Mansor berkata mereka yang masing-masing menaiki
motosikal kemudian dihampiri 11
lelaki dalam sebuah kereta dan lima motosikal.
"Seorang
daripada penunggang motosikal itu kemudian bertindak melanggar motosikal
dinaiki pengawal keselamatan berusia 54 tahun sebelum kumpulan itu mengacukan
pistol dan pisau rambo ke arah kedua-dua mangsa.
"Selepas itu,
mereka merampas beg galas mengandungi wang tunai itu daripada pekerja syarikat
yang berusia 32 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sharul Othman berkata
wang itu adalah hasil kutipan jualan syarikat sejak Jumaat lepas.
Menurutnya akibat
perlanggaran itu pengawal keselamatan berkenaan patah bahu kiri manakala satu
lagi mangsa cedera ringan di siku kanan.
Beliau berkata nombor
pendaftaran salah sebuah motosikal yang digunakan kumpulan perompak itu telah
dikenal pasti manakala lakaran fotofit bagi tiga suspek juga sudah diperoleh.
Pihak forensik juga
sedang mengesan cap jari suspek selain meneliti rakaman kamera litar tertutup
di lokasi kejadian, katanya.
Sharul Othman berkata
kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun yang membawa
hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit
kesalahan.- BERNAMA