Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki
ditemui mati dengan beberapa kesan
tembakan, dipercayai ditembak dari
jarak dekat di Jalan Jinjang di
sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.10 petang tadi, mangsa S. Surya Kumar, 41, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu
kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.Munusamy berkata mangsa dipercayai
ditembak beberapa suspek yang menaiki dua kenderaan pacuan empat roda jenis
Toyoto Hilux dan Mitsubishi Triton.
"Berdasarkan siasatan awal, kenderaan mangsa telah dihalang dua
kenderaan ini sebelum mangsa ditemui mati," katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.
Beliau berkata mangsa yang juga seorang kontraktor mengalami kecederaan
di dada serta muka akibat tembakan berkenaan.
Munusamy berkata hasil siasatan polis mendapati tiga kesan tembakan
pada cermin hadapan selain cermin penumpang kenderaan itu juga pecah.
Katanya pemeriksaan di lokasi kejadian juga menemui kelongsong peluru
dan satu peluru hidup 9mm kira-kira 12 meter daripada kenderaan mangsa.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
membunuh dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.- BERNAMA