SEREMBAN - Tiga polis termasuk seorang pegawai
berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia
(SPRM) negeri ini selepas disyaki menerima suapan bagi melindungi sindiket
kenderaan klon. Ketiga-tiganya yang berusia 27 hingga 54 tahun itu didakwa
menerima wang bagi tujuan tersebut sebanyak RM1,500 setiap bulan sejak setahun
lalu.
Sumber berkata, mereka ditahan di kawasan Temiang di
sini antara pukul 2 dan 2.30 petang tadi.
"Tiga suspek termasuk seorang masing-masing
berpangkat Koperal dan Konstabel itu disyaki terlibat dengan sindiket penjualan
kenderaan klon serta pelupusan kenderaan curi.
"Siasatan awal mendapati salah seorang daripada
mereka turut menyimpan kereta klon jenis Honda yang diseludup dari negara
jiran," katanya kepada Kosmo! di sini.
Menurut sumber itu, tiga suspek tersebut kini ditahan
bagi membantu siasatan dan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban
di sini esok untuk tujuan reman.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Datuk Shaharom Nizam
Abdul Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat di
bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. - K! ONLINE