Khamis, 11 Februari 2016

MARIN SANDAKAN TAHAN 8 LELAKI, RAMPAS PETROL BERNILAI RM189 RIBU

Sandakan, 11 Feb - Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan memberkas lapan lelaki dan merampas 108,000 liter minyak petrol bersubsidi dalam operasi di perairan Laut Lupak Meluas, di sini, petang semalam.

Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohamad Madun berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah kapal yang dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan, hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dilakukan oleh pihak polis.

Menurut Mohamad lagi, setelah diperiksa, pihaknya menemui 540 tong drum besi mengandungi minyak petrol bersubsidi berjumlah 108,000 liter yang dianggarkan bernilai RM189,000 di dalam kapal tersebut.


“Seorang juragan warga Filipina bersama tujuh kru kapal turut ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen membeli, memunggah dan menyimpan minyak tersebut,” terang beliau.

Kesemua rampasan termasuk sebuah kapal dan seunit enjin dianggarkan bernilai RM629,000 bersama tahanan dibawa ke Markas PPM Sandakan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...