GEORGETOWN - Seorang pengusaha
restoran nasi kandar maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam satu kejadian
di Jalan Dato Keramat di sini pagi tadi.
Dalam
kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang dikenali Syed Amin Jainul
Abidin, 46, mati ditempat kejadian selepas terkena lima das tembakan di
bahagian kepala, badan dan tangan.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah,Datuk Zakaria Ahmad berkata, mangsa yang memandu
kereta jenis Mercedes dikatakan berhenti di hadapan sebuah kedai selepas
menyedari dia diekori dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
Menurutnya,
salah seorang suspek dikatakan turun dari motosikal tersebut dan melepaskan
enam das tembakan ke arah mangsa.
"Mangsa
ditembak dari jarak dekat dan lima das tembakan terkena pada mangsa manakala
satu lagi tersasar.
"Suspek
juga dikatakan cuba menembak dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia yang
bertugas mengawal premis perniagaan berhampiran namun tembakan itu juga
tersasar,"katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Zakaria
berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif
pembunuhan.
Katanya,
polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada
berhampiran dengan tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
"Kita
akan menyiasat dari semua sudut dan kes akan disiasat mengiukut Seksyen 302
Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Difahamkan,
selain mengusahakan restoran nasi kandar, mangsa juga memiliki sebuah pusat
mencuci kenderaan di Jelutong.
Mangsa
sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengeluarkan kata-kata
kesat ke atas pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada November tahun
lalu.
Mayat mangsa
dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Sumber: KLIK DISINI