Isnin, 8 Februari 2016

Tiga penjenayah sambut Tahun Baru Cina dalam lokap

KAJANG - Tiga lelaki terpaksa menyambut perayaan Tahun Baru Cina di dalam lokap apabila mereka ditahan selepas disyaki melakukan kegiatan samun di Desa Serdang di awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard, dua daripada lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 2 pagi tadi apabila sepasukan anggota polis dari Balai Polis Taming Jaya melakukan pemeriksaan terhadap satu kereta jenis Proton Wira Aeroback dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas memeriksa kereta yang dinaiki suspek, kami menemui tiga parang panjang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun.

“Hasil daripada tangkapan itu, pihak polis berjaya mengesan seorang lagi suspek lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kedua-dua lelaki menaiki kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Kata beliau, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek yang ditahan giat melakukan kes samun sekitar daerah Kajang.
“Melalui tangkapan ini, kami percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar daerah ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Willey turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena musim perayaan supaya memaklumkan perkara itu kepada balai polis terdekat.
“Rumah-rumah kosong sering menjadi sasaran penjenayah untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

“Maklumkan kepada polis jika rumah tersebut tidak akan berpenghuni sempena perayaan ini agar kami boleh memantau sekaligus mengelakkan ia daripada menjadi sasaran penjenayah,” katanya. K! ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...