Ahad, 7 Februari 2016

Tiga Lelaki Bersenjatakan Parang Ditahan Selepas Samun Kafe Siber

Gambar hiasan
JOHOR BAHARU, 6 Feb (Bernama) -- Tiga lelaki bersenjatakan parang disyaki menyamun sebuah kafe siber di bandar Parit Raja, dekat Batu Pahat ditahan polis pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi berkata orang awam melaporkan kejadian yang dipercayai melibatkan empat lelaki kepada pihaknya kira-kira 9 pagi tadi.

Din berkata suspek pada mulanya melarikan diri menggunakan kereta Proton Wira berwarna merah namun menukar kenderaan lain setelah kereta mereka dikepung orang awam dan polis.

Katanya setelah menukar kenderaan untuk beberapa kali, keempat-empat suspek kemudiannya berjaya melarikan diri menggunakan kenderaan Perodua Kembara berwarna perak milik orang awam bertujuan mengelirukan polis.

Beliau berkata:"Polis kemudiannya mengejar suspek yang melarikan diri ke arah Machap sebelum kenderaan mereka terbabas di Parit Semo."

"Ketika keluar dari kereta itu, salah seorang suspek bertindak menghayun parang ke arah polis hingga menyebabkan kami terpaksa melepaskan tembakan," katanya.

Beliau berkata akibat tembakan itu, seorang suspek terkena tembakan di bahu manakala dua lagi mengalami kecederaan akibat pergelutan dan kesemua suspek dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk menerima rawatan.

"Kami berjaya menahan tiga suspek yang cedera itu sementara seorang lagi berjaya melarikan diri. Usaha memburu suspek kini giat dijalankan," katanya.

Katanya polis turut merampas lapan buah komputer riba dan wang tunai sebanyak RM1,700 dipercayai hasil samun di kafe siber itu.

Din berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...