Jumaat, 8 April 2016

Geng Kumar Setapak Dalang Samun Teksi Tumpas

KETUA Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin (tengah) bersama sebahagian daripada pemandu teksi yang menjadi mangsa samun Geng Kumar Setapak
KUALA LUMPUR: Polis mematahkan kegiatan samun teksi di sekitar ibu negara selepas menahan 10 anggota geng 'Kumar Setapak', minggu lalu.

Semua suspek yang berusia antara 17 hingga 33 tahun itu ditahan susulan penahanan tiga lelaki ketika cuba menyamun sebuah teksi di Kampung Salak Selatan, 29 Mac lalu.

Susulan siasatan, polis menahan seorang peniaga telefon bimbit di sebuah pusat perniagaan di Kuala Lumpur yang dipercayai membeli telefon bimbit yang disamun.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata kejayaan itu sekali gus menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes samun teksi di sekitar Lembah Klang dengan 13 kes daripadanya berlaku di sekitar Cheras.

"Geng Kumar diketuai oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dan aktif melakukan kegiatan sejak lebih dua bulan lalu. "Dalam tempoh itu, mereka sudah menyamun 20 pemandu teksi dengan modus operandi berpura-pura sebagai penumpang, dan ketika dalam perjalanan, mereka akan arahkan pemandu berhenti di tepi jalan sebelum menyamun mereka," katanya pada sidang media, tadi.

Katanya, kumpulan ini bergerak secara berkumpulan antara dua hingga empat orang dan ada beberapa kes pemandu teksi diugut dan dicederakan dengan senjata tajam selain dipukul.


Beliau berkata, dengan penahanan suspek itu, pihaknya berharap dapat menghentikan kerisauan pemandu teksi yang sebelum ini kerap berasa kurang selamat kerana bimbang menjadi mangsa samun penumpang. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...