KUALA LUMPUR - Pembangunan Sumber Manusia Berhad
(PSMB) melaporkan sebanyak 67 kes tuntutan palsu dan penipuan melibatkan
kerugian sebanyak RM1.17 juta dikesan pihaknya sejak tahun 2014.
Ketua Eksekutifnya, Datuk CM Vignaesvaran berkata,
pihaknya tetap komited membasmi gejala penipuan dan rasuah di negara ini
biarpun jumlah penyelewengan tersebut kecil berbanding jumlah keseluruhan dana
RM400 juta yang diperuntukkan kerajaan.
“Kami melihat terhadap sistem dalaman dahulu dan
mencari jalan untuk mengesan penipu. Selepas memperolehi bukti kukuh ketika
melakukan penyiasatan awal barulah PSMB akan merujuk kes tersebut kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Siasatan tersebut mendapati sebanyak 13 syarikat
penyedia latihan dan 44 majikan berdaftar (dengan PSMB) dikenalpasti melakukan
67 tuntutan palsu tersebut,” katanya pada sidang akbar Majlis Bacaan Ikrar
Integriti oleh Penyedia Latihan Yang Berdaftar Dengan PSMB di Wisma PSMB di sini
sebentar tadi.
Sehubungan itu, PSMB mewajibkan semua pihak yang ingin
membuat latihan kemahiran insaniah atau teknikal dengan menggunakan dana
kerajaan hendaklah menandatangani Ikrar Integriti Korporat bagi menyatakan
komitmen berintegriti dan bebas rasuah. - K! ONLINE