Khamis, 26 Mei 2016

EMPAT PENYAMUN MATI DITEMBAK

Kajang, 26 Mei - Polis menembak mati empat penjenayah dipercayai terbabit dalam jenayah samun di kawasan Sungai Sekamat di sini, 6.15 pagi tadi.

Sebelum kejadian, sekumpulan lima suspek terbabit cuba memecah masuk banglo milik seorang jurutera di Taman Saujana Impian, di sini pada 3.15 pagi, namun gagal selepas alat penggera berbunyi.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, susulan itu pemilik rumah bertindak menghubungi polis sebelum sepasukan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digerakkan bagi memburu suspek.


Menurutnya, polis mengesan lima suspek berada di kawasan Sungai Sekamat sebelum mereka bertindak menyerang polis dengan menggunakan parang.

"Bagi mempertahankan diri, beberapa das tembakan dilepaskan menyebabkan empat penjenayah mati di lokasi kejadian.

"Manakala seorang lagi suspek melarikan diri namun pihak kami percaya suspek mengalami kecederaan selepas terkena tembakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sehubungan itu, gerakan memburu seorang lagi suspek sedang giat dijalankan dengan dibantu anjing pengesan K9 di sekitar lokasi kejadian.

"Pihak kami ingin memaklumkan kepada orang ramai, pihak hospital atau mana-mana klinik supaya menghubungi polis sekiranya ada individu yang cedera mahu mendapatkan rawatan.

"Setakat ini kita tidak dapat memastikan identiti suspek berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui. Suspek dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 30-an,"katanya.

Sumber: Harian Metro


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...