KUCHING –
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan
bercadang menaik taraf Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada sebuah jabatan bagi
meningkatkan kecemerlangan pasukan itu dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan
negara.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, langkah itu dilihat akan
memperluas aspek penjawatan pasukan itu.
“Insya-Allah satu hari nanti PGA akan menjadi sebuah jabatan
dengan seorang ketua pengarah dilantik dan lebih banyak anggota dinaikkan pangkat,”
katanya pada majlis ramah mesra bersama anggota PGA di Batu Kawa, di sini hari
ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman.
Kini terdapat 10 jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan membina sebuah
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak bagi anak-anak warga polis dan
menurutnya kini MRSM Kulim yang dibina pada 1992 khusus untuk anak-anak polis.
Beliau berkata ia merupakan antara usaha kerajaan menjaga
kebajikan warga pasukan keselamatan negara melalui bidang pendidikan.
“Saya berharap MRSM ini akan memberi harapan kepada pegawai dan
anggota polis di seluruh negara. Ini merupakan langkah yang diambil untuk
menjaga kebajikan anak-anak polis,” katanya, sambil menambah tender pembinaan
MRSM di tapak seluas 20 hektar itu akan dikeluarkan pada Jun.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menegaskan dalam
perjuangan memartabatkan PDRM, beliau tidak pernah meminggirkan mana-mana
jabatan atau unit dalam pasukan itu.
Ahmad Zahid seterusnya berkata kerajaan melalui Kementerian Dalam
Negeri (KDN) dalam perancangan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak
dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
“Walaupun ada kekangan kewangan, KDN dan PDRM akan berusaha
meningkatkan semua kemudahan berkenaan,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan masing-masing
RM100,000 untuk menaik taraf surau dan gereja di PGA Batu Kawa. – BERNAMA