KOTA BHARU – Polis Kelantan menumpaskan penjenayah Geng Batam
dari Indonesia yang menyasarkan pelanggan yang baru mengeluarkan wang di bank-bank dengan
penahanan lima anggotanya termasuk seorang wanita di Kampung Repek, Pasir Mas minggu lepas.
Anggota sindiket melibatkan empat lelaki dan seorang
wanita yang berumur 20 hingga 36 tahun didapati
memasuki Malaysia secara haram melalui Stulang Laut di Johor Bahru sebelum
transit ke Kuala Lumpur dan mencari lokasi untuk melakukan jenayah di negara
ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata,
dengan penahanan kelima-lima suspek menerusi Ops Bankers itu, pihaknya percaya
dapat menyelesaikan 11 kes rompakan membabitkan lapan kes di Kelantan dan
masing-masing satu kes di Johor, Kedah dan Pulau Pinang dalam tempoh Disember
2015 sehingga minggu lalu.
“Anggota sindiket dari Batam itu memasuki Malaysia
secara haram melalui Stulang Laut sebelum transit ke Kuala Lumpur dan melakukan
jenayah di beberapa buah negeri yang dipercayai telah melibatkan kerugian
hampir RM1 juta,” kata beliau.