CHUKAI: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera di
muka, telinga, bahu dan tangan dipercayai direnjis asid oleh seorang penagih
dadah dalam serbuan Ops Tapis di sebuah rumah dekat Kemasik, Kemaman, pagi
semalam.
Lans Koperal Mohd Haikal Zaharuddin, 27, ketika itu dikatakan
menyertai Ops Tapis bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kemaman
sebelum diarahkan untuk menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri dari
rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim,
berkata bertindak atas arahan itu, anggota terbabit cuba mengejar lelaki
berkenaan sebelum suspek yang dilihat memegang botol kaca merenjis cecair
dipercayai asid ke arah anggota terbabit. Katanya, akibat renjisan itu, mangsa
menggelupur kesakitan namun suspek berjaya ditahan oleh pegawai dan anggota
yang turut berada di lokasi kejadian.
"Ketika cuba melarikan diri, suspek
berusia 27 tahun dilihat melemparkan sesuatu objek sebelum dia ditahan.
"Hasil pemeriksaan mendapati objek terbabit adalah beg mengandungi 20 biji
pil merah, satu plastik berisi pepejal kristal dan satu plastik berisi serbuk
putih yang masing-masing dipercayai dadah. "Polis turut merampas botol
kaca berisi cecair dipercayai asid.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek
mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya. Beliau
berkata, keadaan anggotanya kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di
Hospital Kemaman. Jika keadaan memerlukan, anggota terbabit mungkin akan
dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu,"
katanya.