BUKIT MERTAJAM - Seorang pegawai veterinar dipenjara lapan bulan dan didenda
RM2,000 selepas didapati bersalah mencederakan isterinya dalam sebuah lif di sebuah hospital swasta tiga tahun
lalu.
Mohammad Affandi
Ismail, 40 th juga
berdepan dengan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal melunaskan denda
berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Affandi yang bertugas sebagai
pegawai veterinar di Jerantut, Pahang sebelum ini didakwa mencederakan
isterinya, Siti Khadijah Ahmad Ramli,40 di dalam lif Hospital KPJ Bandar Perda
, di sini kira-kira jam 4 petang, 12 Ogos 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara setahun serta denda RM2,000 jika sabit
kesalahan.
Majistret Mohd Fitri Sadarudin dalam penghakimannya berkata,
walaupun tertuduh mendakwa bertindak sedemikian adalah kerana untuk menegur
isterinya akibat di provokasi namun mahkamah mendapati tindakan berkenaan tidak
wajar.
"Sebagai seorang suami yang beragama Islam dan berpendidikan
tinggi, kamu seharusnya menghormati serta menghargai isteri yang melahirkan
serta menjaga anak -anak namun bertindak sebaliknya," katanya.
Sebelum ini, perbuatan tertuduh yang memukul isterinya itu dirakam
kamera litar tertutup (CCTV) dan tersebar menerusi YouTube.
Sementara itu, Siti Khadijah ketika ditemui berkata, dia bersyukur
dengan keputusan berkenaan dan telah membuat permohonan cerai di Mahkamah
Syariah Bukit Mertajam.
Ketika ditanya sama ada dia telah memaafkan perbuatan suaminya,
wanita berkenaan yang bekerja di sebuah kilang hanya menjawab:
"Insya-ALLAH."
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md. Zin
manakala tertuduh diwakili peguam, R Palaniappan