Kuala Lumpur,
– Operasi Op Vilture 1/16 yang dilancarkan
oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
(JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama JSJK Kontinjen Selangor adalah satu usaha
pihak polis mengekang sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau lebih dikenali
dengan panggilan Ah Long pada 20 Mei lalu.
Dalam
operasi yang dilancarkan oleh Bahagian Risikan/ Operasi JSJK itu, pihak polis
berjaya menahan 13 individu termasuk tiga wanita serta merampas
peralatan dan dokumen-dokumen berkaitan aktiviti sindiket terbabit seperti
sembilan buah kenderaan mewah pelbagai jenis milik anggota-anggota sindiket,
barang-barang kemas dan sejumlah wang tunai berjumlah lebih RM80 ribu.
Pada
sidang media JSJK di ibu negara, Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi JSJK Bukit
Aman, SAC Roslan Abd. Wahid berkata, susulan penangkapan 13 individu tersebut,
pihak polis sekaligus telah berjaya menumpaskan satu sindiket Ah Long yang beroperasi
secara agresif sejak dua tahun lalu di keseluruhan Selangor, Kuala Lumpur dan
Johor di mana tangkapan ini turut melibatkan kesemua ahli sindiket termasuk
ketuanya.
Sebelum
itu, beliau turut menjelaskan pihak polis telah menerima banyak aduan berkenaan
kes pinjaman wang tidak berlesen ini di mana statistik pada tahun 2016 telah
menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Saya
ingin menasihati semua rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam membuat
pinjaman kewangan kerana masih terdapat banyak lagi institusi kewangan yang
menyediakan pinjaman dengan kadar faedah yang berpatutan serta berpaksikan
kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada,” ujarnya lagi.