Isnin, 27 Jun 2016

Enam warga Afrika terlibat Romance Scam

KUALA LUMPUR 26 Jun- Enam warga dari benua Afrika yang dipercayai terlibat dalam 10 kes penipuan internet 'Romance Scam' membabitkan nilai kerugian lebih RM1 juta ditahan di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya dekat sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 1 pagi itu, sepasukan anggota dari Unit Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 38 tahun.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman, SAC Roslan Abd. Wahid berkata, pihaknya turut merampas 12 biji telefon bimbit, 15 keping kad ATM dan sebuah kereta jenis Toyota Camry.
"Selain itu, turut ditemui adalah lima unit komputer riba yang digunakan suspek untuk mencari mangsa dan satu pen drive mengandungi gambar mangsa yang akan menjadi sasaran mereka," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan ‘Romance Scam’ itu sejak dua tahun lalu. "Mereka didapati menggunakan internet terutamanya laman sosial seperti Facebook, Tagged, Twitter dan lain-lain untuk mencari serta menipu mangsa mereka.
"Kumpulan ini akan menghubungi mangsa yang dikenal pasti dan menyamar sebagai ejen tertentu seperti pegawai bank untuk memperdaya mangsa," katanya.- BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...