SEREMBAN: Seorang wanita berusia 78 tahun ditemui mati dalam keadaan tangan
diikat tuala dan kesan jerutan pada leher di
rumahnya di Paroi, dekat sini, malam
tadi.
Mayat wanita itu ditemui kira-kira jam 7.30 malam, oleh anak perempuannya
berusia 57 tahun yang baru pulang dari Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini,
kerana menguruskan suami mangsa yang mendapatkan rawatan akibat sakit tua.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata
ketika kejadian mangsa tinggal berseorangan di rumah banglo dua tingkat dan tiada kesan
pecah masuk. Katanya, sebaik
pulang dari hospital, anak mangsa yang terkejut melihat keadaan ibunya, meminta
bantuan jiran yang juga seorang jururawat untuk membuat pemeriksaan dan
mendapati warga tua itu sudah meninggal dunia.
"Siasatan mendapati terdapat kesan lebam dan calar pada
bahagian leher, lengan dan jari, manakala cincin dan rantai leher milik mangsa
hilang dipercayai disamun," katanya di sini, hari ini.
Muhamad Zaki
berkata, mangsa sebelum itu bersama seorang pembantu rumah warga Indonesia
berusia awal 30-an yang bekerja di rumah itu dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Katanya, polis kini sedang mengesan wanita itu bagi membantu siasatan dan kes
itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.