Ahad, 5 Jun 2016

Jenayah membabitkan pelajar sekolah kini semakin berleluasa

KUALA LUMPUR: Jenayah membabitkan pelajar sekolah kini semakin berleluasa, termasuk melakukan peras ugut, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy. 

Selain peras ugut, pelajar juga, katanya, sering terbabit dalam perbuatan vandalisme yang merosakkan harta benda dan kemudahan awam, selain menipu dan mencuri. Beliau berkata, walaupun kes jenayah juvana masih rendah berbanding jenayah dewasa, ia harus dikekang dari awal bagi mengelak masalah yang lebih besar pada masa akan datang.


"Kesalahan juvana itu akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Kita akan kehilangan modal insan yang berkaliber, sekali gus mengugatkan keselamatan negara. "Masyarakat juga terpaksa membiayai perbelanjaan remaja yang menjadi pelaku jenayah juvana dalam bentuk seperti bayaran cukai untuk melancarkan program mencegah jenayah," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Kem Perdana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle Sentul 2016: #akupower, di sini, semalam. Program dua hari satu malam membabitkan 100 pelajar itu dianjurkan oleh pentadbiran sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK La Salle Sentul dan dikendalikan oleh Onemyr Awareness Management. 

Pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan bagi mengenal pasti potensi peserta dan meyakinkan mereka sebagai bakal pemimpin masa hadapan. Mengulas lanjut, Munusamy berkata seorang anggota polis dikenali sebagai Pegawai Bahagian Sekolah (PBS) ditempatkan di setiap sekolah untuk memantau aktiviti dan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pelajar.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...