Rabu, 2 November 2016

NSOF Pasukan Elit Bertindak Pantas Hadapi Pengganas

1. National Special Operations Force (NSOF) adalah gabungan elemen pasukan khusus dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
2. Penubuhan NSOF telah diputuskan dalam mesyuarat Pre-Council National Strategy Execution Summit pada 28 Julai 2011.
3. NSOF merupakan satu pasukan gabungan berperanan sebagai pasukan penggempur darat, laut dan udara menangani ancaman keganasan terutamanya keganasan bukan tradisional seperti IS. Sebelum ini memerangi keganasan dan insurgensi dari dalam dan luar adalah tanggungjawab PDRM dengan aset dan kekuatan keanggotaan yang terhad.

4. Pada tahun 1985 di Lahad Datu, segerombolan lanun bersenjata dari Selatan Filipina telah menyerang bandar Lahad Datu mengorbankan beberapa nyawa. Pihak tentera berhampiran tidak dapat digerakkan untuk membantu pasukan PDRM kerana pihak tentera tidak mempunyai tanggungjawab melawan jenayah keganasan dan insurgensi.
5. Pada tahun 2013 sekali lagi di Lahad Datu dan Semporna, pengganas dari Selatan Filipina telah melancarkan serangan bersenjata yang telah mengorbankan beberapa orang pegawai dan anggota PDRM. Sekali lagi pihak tentera tidak dapat menyertai operasi membantu PDRM sehingga menerima persetujuan untuk melancarkan operasi sokongan dan arahan dari pihak Kementerian Pertahanan.
6. NSOF diletakkan di bawah organisasi Majlis Keselamatan Negara (MKN). MKN beroperasi mengikut Akta Majlis Keselamatan Negara, 2016.
7. Akta MKN 2016 tidak melupuskan kuasa hakiki Yang DiPertuan Agong (YDPA) untuk mengisytiharkan darurat. Hanya YDPA berhak mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat.
8. Majlis Keselamatan Negara dipengerusi oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.
9. Ketua Pengarah MKN bertanggunjawab untuk pentadbiran dan pengurusan MKN serta penapisan dan pengesahan maklumat untuk membuat cadangan kepada Pengerusi.
10. Seksyen 18 Akta MKN 2016 memberi kuasa kepada Pengerusi untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan hanya setelah menerima cadangan dari para ahli MKN.
11. Sebelum ini, Seksyen 31 Akta Polis 1967 memberi kuasa kepada mana-mana pegawai polis tertentu untuk memerintahkan orang-orang awam untuk berkurung. Seksyen 3(1) Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan) 1958 memberi kuasa hanya kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai oleh Menteri tersebut sebagai kawasan keselamatan.
12. Akta MKN 2016 menghindarkan dari kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan terletak hanya di tangan seseorang individu dengan memberikannya kepada satu Majlis. Ini adalah untuk menghalang mana-mana Menteri Dalam Negeri dari menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri dan juga politik sepertimana yang dilakukan sebelum-sebelum ini.
Oleh Capt Abdul Rahmat Omar bin Tun Mohamed Haniff RMAF (Rtd)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...