KUALA LUMPUR
- Kawasan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini
gempar apabila sekumpulan lelaki secara tiba-tiba ‘merusuh’ serta
mencetuskan kekecohan dengan membaling botol ke arah orang ramai yang berada
di kawasan itu.
Lebih 20 lelaki berpakaian hitam,
bertopeng dan mengibar bendera merah berada di kawasan tumpuan pelancong itu
kira-kira 10 pagi dan dilihat memaki hamun pihak polis serta pengawal
keselamatan apabila diminta bersurai secara aman.
Mereka turut bertindak merempuh
dan memukul anggota polis sebelum anggota pasukan Polis Simpanan Persekutuan
(FRU) melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan mereka.
Bagaimanapun,
insiden selama satu jam itu hanyalah latih amal Ex-Rimau 2017 yang
diadakan di KLCC sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Ke-29 yang akan
berlangsung bulan depan.
PDRM dalam kenyataan semalam
berkata pegawai dan anggota polis akan berada di sekitar lokasi itu bagi latih
amal yang bermula hari ini sehingga esok pada 8 pagi hingga 2 petang.
Kenyataan itu berkata latih amal
berkenaan meliputi pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Unit
Pemusnah Bom (UPB), Unit Tindakan Khas (UTK), 69 Komando, Pasukan Polis Marin
(PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan
Persekutuan (PSP), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota-anggota tugas
am.
Selain itu, latihan berkenaan
dapat menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi
situasi ancaman keselamatan serta peranan dan tugas Komander-Komander Briget
sebagai ketua Pasukan Tindakan Krisis (CRT).
Sempena persiapan menjelang Sukan
SEA pada 19 hingga 30 Ogos ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
telah mengarahkan PDRM supaya mengadakan latih amal persiapan sebanyak lima
siri termasuk di KLCC. - Bernama