SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia
(PDRM) memandang serius akan dakwaan salah laku seorang pegawai polis yang
dikatakan meminta sejumlah wang bagi melindungi kegiatan haram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata,
siasatan lanjut terhadap dakwaan itu sedang dijalankan.
Menurutnya, pihaknya tidak sesekali akan
berkompromi dengan mana-mana pegawai kanan dan anggota yang telah melanggar
peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
"Kita memberi jaminan siasatan lanjut berhubung perkara ini akan
dijalankan secara telus dan teliti tanpa melindungi mana-mana pihak.
"Siasatan dua hala turut dilakukan terhadap kesahihan
aduan ini dan sekiranya terbukti wujudnya unsur-unsur tohmahan atau apa-apa
agenda yang berniat tidak baik untuk mencemarkan nama baik dan reputasi pegawai
terlibat sekali gus mencalarkan imej PDRM, maka suatu laporan rasmi polis akan
dibuat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, siasatan rapi akan dijalankan
terhadap penulis aduan ini atau sesiapa sahaja yang berniat jahat untuk mencemarkan nama
baik serta reputasi pasukan PDRM.
Terdahulu, satu insiden viral yang telah tersebar
melalui laman media sosial, semalam, mengenai aduan salah laku seorang pegawai
polis, yang dikatakan telah meminta sejumlah wang bagi melindungi kegiatan
haram.
Dalam laporan viral itu mendakwa pengadu tidak
berpuas hati kepada seorang ketua balai di Klang kerana enggan menerima
wang sogokan dalam jumlah yang sedikit bagi melindungi pusat hiburan, rumah
urut dan lain-lain.
Sumber: KLIK DISINI