LELAKI yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-
Langkah Khas) 2012 (SOSMA), MENINGGAL DUNIA
SELEPAS PENGSAN DI LOKAP BERPUSAT SHAH ALAM, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pada 8.20 malam
tadi, S THANABALAN, 38, ditemui pengsan di dalam satu daripada sel oleh anggota bertugas.
"Tahanan terbabit kemudiannya terus dibawa ke Hospital Shah Alam
Selangor (HSAS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, tahanan disahkan meninggal dunia pada 9.05 malam
oleh Pegawai Perubatan HSAS selepas bantuan rawatan tidak berjaya.
"Satu proses bedah siasat dijalankan pada pagi ini bagi mengenal
pasti punca kematian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Mazlan berkata, petugas Pejabat Kesihatan Daerah
Petaling juga akan menjalankan pemeriksaan terhadap kawasan lokap, semua
tahanan dan petugas-petugas Lokap Berpusat IPD Shah Alam kerana dipercayai
berlaku wabak di situ.
Sementara itu, keluarga tahanan kesal dan menuntut keadilan terhadap
kematian terbabit.
Adik mangsa, S Vijayanand, 36, ketika ditemui di Jabatan Perubatan
Forensik Hospital Shah Alam Selangor (HSAS) berkata, keluarga sudah melantik
doktor yang akan turut menjalankan bedah siasat ke atas mangsa.
"Kami tidak dimaklumkan punca dan sebagainya tetapi masih tunggu
keputusan bedah siasat yang turut disertai doktor yang dilantik khas.
"Abang saya seorang yang ceria dan tidak menghadapi apa-apa
masalah termasuk masalah kesihatan.
"Mungkin dia sakit tetapi kenapa mereka cuai dalam menjaga suspek
yang disiasat dan belum ditentukan sama ada bersalah atau tidak?" katanya.
Vijayanand berkata, kira-kira 7 pagi pada 29 Mac lalu, Thanabalan
ditahan polis selepas menghantar anak-anaknya ke sekolah.
"Dia ditahan di hadapan pintu pagar sekolah anaknya oleh polis
dari Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor. Apabila isteri dia tanya apa
kesalahan suaminya, polis cakap ditahan bagi kes SOSMA dan ditahan untuk siasat
sahaja dan dibawa ke IPK Selangor,” katanya.
Bagaimanapun katanya, malam tadi dia dihubungi isteri mangsa, V Shahti,
38, yang memaklumkan bahawa Thanabalan sudah meninggal dunia.
"Pada 11.40 malam tadi, polis yang menahan dia tempoh hari
memberitahu isteri mendiang yang Thanabalan sudah meninggal dan minta hadir ke
Jabatan Perubatan Forensik HSAS.
"Kami
sedih dan terkejut dengan berita itu kerana dia tiada masalah kesihatan,
seorang yang ceria dan disenangi malah mempunyai sepasang cahaya mata yang
berusia 11 dan tujuh tahun," katanya.