Sabtu, 7 April 2018

TRANSFORMASI PASUKAN ELIT POLIS


AGENDA mentransformasi pasukan elit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi antara KEUTAMAAN TERAS 5 DALAM MEMASTIKAN KESELAMATAN RAKYAT SEBAGAI KEUTAMAAN.
Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) tersenarai antara barisan keselamatan yang menjamin masyarakat terlepas daripada ancaman keselamatan.
Sejajar komitmen itu, kawasan tinggi kadar jenayah dipantau secara terus menggunakan kamera litar tertutup definisi tinggi (CCTV HD) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ia termasuk pemasangan CCTV HD di semua lokap polis di seluruh negara, selain pembinaan penjara khas lengkap dengan sistem keselamatan elektronik bersepadu bagi menempatkan tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).
Bagi kawasan luar bandar, lebih banyak lampu jalan akan dipasang menerusi peruntukan RM100 juta dan dana RM150 juta bagi menyelenggara serta mengganti lampu jalan rosak.

Dalam membina komuniti selamat pula, ia akan diperkukuh dengan meningkatkan pembabitan masyarakat menerusi inisiatif PDRM menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), selain penambahan anggota Skim Rondaan Sukarela.
Tanpa mengetepikan keperluan dunia tanpa sempadan ketika ini, Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) menerusi Kementerian Pertahanan akan ditubuhkan sebagai langkah menangani ancaman dunia siber termasuk aset penting negara.
Langkah mencegah ancaman keselamatan dari luar seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan migran, dadah dan senjata api akan diberi penekanan, dengan lebih banyak pos kawalan dan sistem pemantauan sepanjang sempadan negara iaitu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan AKSEMNET akan dibina.
Bagi Teras 6 pula, golongan ibu dan wanita di negara ini akan terus diperkasakan menerusi 25 inisiatif menarik yang bakal dilaksanakan.
Menerusi Teras Ibu dan Wanita itu, antara inisiatif utama membabitkan agenda pemerkasaan ekonomi golongan itu ialah penubuhan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri.
Fokus utama MEW adalah memastikan hala tuju dan pembangunan agenda ekonomi wanita diberi perhatian khusus.
BN juga akan mewujudkan koperasi wanita bagi menyediakan kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan, selain melicinkan proses pemerolehan pinjaman golongan wanita tunggal dengan memberi kebenaran menggabungkan pendapatan adik-beradik atau ibu bapa yang layak.
Selain itu, pusat transformasi usahawan wanita menggunakan model Pasarnita akan ditubuhkan bagi membolehkan jaringan perniagaan diperluaskan.
Penubuhan Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan bagi membincang dan menyelaraskan isu berkaitan hal ehwal perundangan serta kehakiman syariah di negara ini, dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memantapkan aspek perundangan.
Justeru, Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ditubuhkan bermula di Wilayah Persekutuan untuk mempercepat pendengaran dan penyelesaian kes, manakala mangsa gangguan jenayah seksual bakal dilindungi apabila Akta Gangguan Seksual digubal.
Dalam pentadbiran, peranan dan sumbangan wanita terus dihargai untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan di Dewan Negara melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan dan 30 peratus sebagai pembuat keputusan.
Insentif cukai kepada 24 bulan bagi wanita yang kembali ke pasaran pekerja juga akan diberikan, selain memberikan insentif kepada syarikat yang menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dan fasiliti untuk ibu menyusukan bayi.
Peruntukan cuti khas tujuh hari setahun akan diberi kepada wanita yang menjaga anak atau saudara terdekat yang sakit.

Sumber: KLIK DISINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...