KUALA LUMPUR – Satu SINDIKET PENYELUDUPAN MINUMAN KERAS yang
bekerjasama dengan satu lagi SINDIKET
MENGELUARKAN DOKUMEN PALSU AKHIRNYA DITUMPASKAN dengan
tertangkapnya
21 individu lelaki warga tempatan dan warga asing baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia antara 24 hingga
77 tahun itu telah ditahan oleh
Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan
Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman
dalam tiga operasi di Kajang, Subang USJ dan Serdang pada 6 Mei lalu.
Pengarahnya, KOMISIONER DATUK SERI
ACRYL SANI ABDULLAH SANI berkata,
kesemua 17 lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama terdiri daripada sembilan
warga tempatan dan lapan warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan polis berjaya
merampas sejumlah 47,400
tin minuman keras seludup berjenama Tiger dan sebanyak 30,720 tin minuman
berjenama Singha keseluruhannya bernilai RM325,000.
“Turut dirampas sebuah lori kontena
jenis Volvo, sebuah van jenis Toyota Hiace dan wang tunai berjumlah RM8,000
yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM550,000,” katanya dalam kenyataan
media hari ini.
Justeru tambah Acryl Sani, sebanyak enam keping pas
pekerja sementara dipercayai palsu bersama dengan pelekat hologram bagi maksud
pemalsuan telah dirampas daripada salah seorang suspek yang telah ditahan.
Menurut beliau, kesemua suspek telah
direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang selama tujuh hari bermula 7 Mei
hingga 13 Mei ini di bawah Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan
lanjut dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967
(memiliki minuman keras seludup tanpa cukai).
Susulan daripada tangkapan itu, katanya
pasukan sama telah melancarkan dua lagi operasi susulan di Subang USJ dan
Serdang ke atas satu SINDIKET
YANG DISYAKI TERLIBAT DALAM AKTIVITI PEMALSUAN DOKUMEN SETEM DUTI KASTAM DAN
PAS PEKERJA TEMPATAN.
“Operasi berkenaan berjaya membawa polis kepada
penahanan empat suspek termasuk seorang lelaki warga Bangladesh dan satu wanita
Indonesia.
“Kesemua suspek berusia antara 55
hingga 70 tahun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut sementara pemeriksaan
lanjut polis berjaya merampas
sejumlah 104 keping hologram setem palsu Imigresen dan UNHCR, kerajaan
Indonesia dan dua gulung kertas aluminium setem Jabatan Imigresen.
“Justeru turut dirampas 43 keping kertas permit plat aluminium (Pass dan
Visa Malaysia), sekeping die cut mold Visa Malaysia dan
sembilan bungkus setem Jabatan Kastam “Duty Paid” (Anggaran 130,000 keping),” ujar beliau.
Dua suspek telah direman di lokap IPD
Subang Jaya pada 7 Mei semalam manakala dua lagi telah direman di lokap IPD
Serdang selama empat hari mulai 7 hingga 10 Mei ini dibawah Seksyen 117 Kanun
Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen
55D Akta Imigresen kerana memalsukan suatu pas dan jika disabitkan kesalahan boleh
dikenakan denda tidak kurang RM30,000.00 dan penjara antara 5 hingga 10 tahun.
“Mereka turut disiasat di bawah Seksyen
472 Kanun Keseksaan kerana membuat atau memiliki Meteri, pelit lancong dan
sebagainya denga niat hendak melakukan pemalsuan yang boleh diseksa di bawah
Seksyen 467 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh
dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda,” tegas beliau.- MalaysiaGazette