Kuala Terengganu, 4 April - Polis Terengganu mengingatkan semua penyokong parti politik yang bertanding agar tidak melakukan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan sepanjang proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana parti atau individu yang mencetuskan kekecohan yang boleh mengganggu kelicinan proses pilihan raya dan menjejas ketenteraman awam.
Katanya penyokong finatik dan bakal calon juga dinasihat agar tidak beremosi sebaliknya lebih berhemah ketika berkempen atau berceramah sepanjang pilihan raya.
"Saya harap penyokong parti yang bertanding serta bakal calon mematuhi arahan dan garis panduan yang telah ditetapkan dari pihak berkuasa agar proses sepanjang pilihan raya berjalan lancar," katanya selepas merasmikan majlis derma darah sempena hari polis ke-206 di sini hari ini.