Jumaat, 5 April 2013

POLIS TERENGGANU INGATKAN PENYOKONG TIDAK CETUSKAN PROVOKASI


Kuala Terengganu, 4 April - Polis Terengganu mengingatkan semua penyokong parti politik yang bertanding agar tidak melakukan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan sepanjang proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana parti atau individu yang mencetuskan kekecohan yang boleh mengganggu kelicinan proses pilihan raya dan menjejas ketenteraman awam.

Katanya penyokong finatik dan bakal calon juga dinasihat agar tidak beremosi sebaliknya lebih berhemah ketika berkempen atau berceramah sepanjang pilihan raya.

"Saya harap penyokong parti yang bertanding serta bakal calon mematuhi arahan dan garis panduan yang telah ditetapkan dari pihak berkuasa agar proses sepanjang pilihan raya berjalan lancar," katanya selepas merasmikan majlis derma darah sempena hari polis ke-206 di sini hari ini.

Jamshah berkata polis kontigen Terengganu sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya dan seramai 3,000 anggota serta pegawai telah digerakkan selepas parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan semalam.

Katanya pihaknya juga telah mengenal pasti kawasan panas bagi memastikan kawalan keselamatan di kawasan tersebut mencukupi. Menurutnya walaupun senario politik di negeri ini agak berbeza namun pihaknya memberi jaminan bahawa proses PRU13 akan berjalan lancar.

"Orang ramai tidak perlu takut untuk keluar mengundi dan jika mereka rasa takut mereka boleh meminta bantuan daripada pihak polis jika melihat individu yang cuba mengugut atau menakukan mereka," katanya.

Dalam pada itu Jamshah turut mengigatkan semua anggota agar menjalankan kerja dengan profesional dan adil sepanjang proses PRU13. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...