Jumaat, 5 April 2013

LELAKI TEMPATAN DAN WANITA ASING DITAHAN DALAM OPERASI DAULAT


Lahad Datu, 5 April - Seorang lagi lelaki tempatan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam operasi polis bagi membanteras saki-baki penceroboh dari Selatan Filipina di Sabah. 

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu petang semalam, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang.

Beliau berkata dalam Operasi Daulat semalam, polis turut menahan seorang wanita berusia 45 tahun yang mempunyai kad identiti dari kesultanan Sulu di Kampung Sungai Bilis, Felda Sahabat dekat sini.

"Kami masih menyiasat penglibatan kedua-dua mereka dengan insiden pencerobohan militan Sulu," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebuah lagi balai polis bergerak ditempatkan di sekitar Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu mulai pagi ini bagi meningkatkan keyakinan penduduk kampung yang terjejas akibat insiden pencerobohan itu.

Tan berkata sehingga pukul 1 tengah hari ini, 20 laporan polis telah dibuat antaranya membabitkan kehilangan harta benda serta rumah yang dibakar dan dirosakkan militan terbabit.

Beliau berkata polis percaya lebih banyak laporan polis akan dibuat penduduk untuk tempoh terdekat.

"Selain balai polis itu, pasukan keselamatan juga akan meneruskan rondaan untuk meningkatkan tahap keselamatan.

"Kami percaya penduduk kampung di zon merah tidak akan takut lagi dan akan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...