| Gambar hiasan |
Serbu markas penyamun jumpa makmal proses dadah
KUALA LUMPUR: Serbuan polis ke sebuah unit kondominium mewah yang dipercayai dihuni kumpulan samun bersenjata api, membawa polis kepada satu lagi kejayaan apabila turut membongkar makmal syabu.
Kediaman yang terletak di tingkat 22 kondominium berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak, di sini itu diserbu polis kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Dalam serbuan itu polis menemui tiga pucuk pistol, syabu dalam bentuk kristal dan cecair serta pelbagai bahan memproses dadah yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM5 juta.
Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur bagi mengesan suspek beberapa kes samun bersenjata api di sekitar Johor.