Ahad, 26 Ogos 2012

Makmal memproses dadah kian membimbangkan

Gambar hiasan

Serbu markas penyamun jumpa makmal proses dadah


KUALA LUMPUR: Serbuan polis ke sebuah unit kondominium mewah yang dipercayai dihuni kumpulan samun bersenjata api, membawa polis kepada satu lagi kejayaan apabila turut membongkar makmal syabu.

Kediaman yang terletak di tingkat 22 kondominium berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak, di sini itu diserbu polis kira-kira jam 1 tengah hari semalam.


Dalam serbuan itu polis menemui tiga pucuk pistol, syabu dalam bentuk kristal dan cecair serta pelbagai bahan memproses dadah yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM5 juta.



Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur bagi mengesan suspek beberapa kes samun bersenjata api di sekitar Johor.


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika mengesahkan kejayaan itu, berkata empat suspek warga tempatan, masing-masing dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an dan 30-an turut ditahan semasa serbuan.



“Maklumat awal yang diterima suspek dipercayai terbabit dalam kes samun dan mempunyai senjata api, namun hasil pemeriksaan di kondominium itu kita menemui sejumlah dadah yang banyak selain makmal pemprosesan.




“Kita masih lagi menjalankan siasatan di lokasi serbuan dan Jabatan Kimia turut akan menjalankan pemeriksaan Isnin ini, untuk mengenal pasti tahap bahaya makmal yang diubahsuai selain kandungan bahan berkenaan,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati unit kondominium berkenaan disewa oleh salah seorang suspek wanita yang ditahan dan buat masa ini unit kondominium itu diletakkan sebagai kawasan larangan selepas mendapati terdapat bahan mudah meletup dan terbakar pada bahagian yang diubahsuai untuk dijadikan makmal dadah.



Difahamkan, ketika serbuan dilakukan, polis terpaksa memecah masuk ke unit kondominium itu selepas suspek enggan membuka pintu sebaik menyedari kehadiran polis.


Semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Senjata Api dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...