JOHOR BAHRU: “Ketika kami berbual termasuk menyiasat aduan kerosakan meter elektrik di rumah, tiba-tiba seorang daripada dua lelaki yang memakai pakaian seragam Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengugut dan meminta saya menyerahkan semua barang kemas.
“Apabila saya menjerit meminta tolong, lelaki itu mengeluarkan pisau dari pakaiannya dan mengelar pergelangan tangan saya berulang kali,” kata suri rumah dikenali sebagai Sundara, 39, menceritakan kejadian cubaan rompak di rumahnya di Jalan Jelatang 22, Taman Megah Ria, Masai, di sini, semalam.
Ibu tiga anak itu berkata, kejadian berlaku jam 4 petang apabila dia bersama anak perempuan sulungnya berusia belasan tahun berada di rumah, manakala suaminya keluar bekerja. Dua lagi anaknya berada di rumah saudara di kawasan berhampiran.
Menurutnya, ketika itu, dia didatangi dua lelaki memakai seragam TNB dan berpura-pura mahu memeriksa meter serta bil elektrik rumahnya.
Katanya, sebaik masuk dalam rumah, dia terkejut apabila lelaki itu tiba-tiba mengugut mahu mencederakannya sekiranya tidak menyerahkan barang kemas.
Terkejut dengan permintaan lelaki terbabit, katanya, dia menjerit meminta tolong sebelum lelaki itu bertindak agresif dengan mengelar pergelangan tangan kanannya. “Melihat kejadian itu, anak perempuan saya lari ke tingkat atas dan mengunci pintu sementara saya melarikan diri dengan keluar dari rumah dan menjerit meminta bantuan jiran.
“Dua lelaki itu yang cemas melarikan diri,” katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Regency di Masai di sini, sebelum membuat laporan di Balai Polis Masai di sini, petang semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abd Hamid mengesahkan kejadian itu.
“Kami masih menyiasat kejadian itu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik kumpulan penjenayah. “Bagi mengelak kejadian tidak diingini, orang ramai boleh menghubungi TNB bagi mendapatkan kepastian sebelum membenarkan pemeriksaan meter di rumah mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.