Ahad, 26 Ogos 2012

Hati ibu dicengkam pilu - pembunuh masih bebas


GUA MUSANG: Siapa pembunuh Nor Ain Shafnie Mohd Azizi? Itu persoalan bermain di fikiran ibu remaja berusia 16 tahun itu, Che Esah Yusoff, 60, yang sangat mengharapkan pembunuh anaknya segera dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal atas kekejaman dilakukan.

Che Esah yang juga ibu tunggal masih tidak dapat melupakan betapa hancur luluh hatinya selepas dimaklumkan anaknya ditemui dalam keadaan menyayat hati tanpa jasad sempurna apabila hanya tengkorak dan tulangnya ditemui di ladang sawit berhampiran rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, dekat sini, pada 23 April lalu.


Menurutnya, walaupun sudah empat bulan berlalu, dia masih terbayang-bayang wajah dan kelibat anaknya seolah-olah masih ada di depan mata.


Katanya, perasaan pilu semakin mencengkam apabila tiba Aidilfitri Ahad lalu.


“Aidilfitri tahun ini tiada serinya tanpa kehadiran Nor Ain. Selain masih terkenang peristiwa hitam yang berlaku, saya turut terkenang kesibukan Nor Ain yang rajin mengemas rumah dan membuat kuih raya ketika menjelang Aidilfitri.



“Arwah juga orang yang paling sibuk melayan tetamu sepanjang Aidilfitri,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.




Harian Metro pada 25 April lalu melaporkan, tengkorak dan tulang Nor Ain ditemui di ladang sawit berhampiran rumahnya oleh seorang pekerja kontrak ladang sawit pada jam 6 petang selepas dipercayai dibunuh dan mayatnya dibakar.


Tengkorak dan tulang remaja yang hilang pada 3 April lalu itu ditemui bersama dompet mengandungi kad pengenalannya, seutas jam tangan serta sebuah motosikal miliknya yang hanya tinggal rangka akibat dibakar.



Beberapa hari selepas itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, Nor Ain dipercayai dirogol sebelum tengkorak dan tulangnya ditemui.


Katanya, perbuatan kejam itu dipercayai dilakukan individu dikenali mangsa dan polis menahan sembilan suspek warga tempatan untuk membantu siasatan.



Menurut Che Esah, sehingga kini pembunuh anaknya belum dikenal pasti dan dia terus berdoa polis dapat menangkap dan membawa pembunuh anaknya ke muka pengadilan serta dihukum dengan hukuman setimpal.



“Jika saya terkenangkannya, saya tatap gambarnya. Arwah berhenti sekolah ketika tingkatan tiga dan dia menjaga saya sepanjang masa di rumah.



Katanya, tengkorak dan tulang anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RKT Kesedar Jeram Tekoh, dekat sini, pada 9 Julai lalu.



“Saya menerima tulang dan tengkorak anak daripada polis pada sebelah pagi dan mengebumikannya pada jam 3 petang, 9 Julai lalu,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi berkata, kes pembunuhan Nor Ain tidak akan ditutup selagi pembunuhnya belum ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.



Katanya, suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan kerana mereka didapati tidak terbabit dengan pembunuhan Nor Ain.



“Kami masih meneruskan siasatan dan mengesan pembunuh Nor Ain. Selagi tidak dapat siapa pembunuhnya, kami memburu pembunuh itu,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...