
IPOH: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah membabitkan wang tunai RM15,000.
Asisten Superitendan Ng Swie Chait, 34, dan Lans Koperal Detektif Mohd Syafiq Omar, 29, dituduh secara bersama melakukan perbuatan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini antara 10 malam hingga 11 malam, 30 Mac 2011.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di jabatan berkenaan didakwa meminta RM15,000 daripada Kong Wan Heng dan isterinya Leong Suet Lai bagi membebaskan Kong yang ditahan berkaitan kes jenayah dan memulangkan barang kemas yang dirampas daripada siasatan kes.
