Khamis, 20 Jun 2013

AWAS SCAM ALERT !!!!


Anda dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai apa-apa email yang menyatakan anda sebagai pewaris harta kepada seseorang yang tidak dikenali. Anda mungkin salah seorang daripada mangsa seterusnya.

Antara modus operandi yang dikenalpasti digunakan oleh sindiket:

1. Sindiket akan memaklumkan kepada mangsa bahawa anda telah dikesan sebagai pewaris untuk menerima harta pusaka peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia. 

2. Harta tersebut biasanya berada di luar negara. Beberapa dokumen sokongan dari jabatan kerajaan tertentu, badan kehakiman, mahkamah, Bank Negara Malaysia dan sebagainya disertakan untuk menyakinkan mangsa. 

3. Mangsa sama ada rakyat Malaysia sendiri atau luar negara yang kononnya datuk/moyang mereka pernah sewaktu ketika dulu berada di Malaysia dan merupakan hartawan yang tidak mempunyai waris selepas kematiannya. 

4. Dalam kes-kes seumpama ini, suspek akan mengenakan bayaran untuk menguruskan perpindahan wang tersebut kepada mangsa. 

5. Mangsa berasa tertipu apabila mendapati harta yang dijanjikan tidak diperolehi dan individu yang berperanan sebagai orang tengah menghilangkan diri.

Rabu, 19 Jun 2013

RESTORAN 24 JAM DISARAN UPAH PENGAWAL KESELAMATAN, PASANG CCTV


Kuala Lumpur, 18 Jun - Restoran yang beroperasi 24 jam disaran mengupah pengawal keselamatan sebagai langkah mengelak kejadian samun berkumpulan.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan mereka juga dilihat inisiatif penting dalam mengesan aktiviti jenayah.

"Polis tidak boleh berkawal di sesuatu tempat itu dalam tempoh yang lama, banyak lagi tugasan penting yang perlu dilaksanakan selain hanya memantau atau memfokuskan kepada lokasi yang sama," katanya kepada Bernama.

Ramli bagaimanapun berkata polis sememangnya melakukan rondaan berkala bagi mengekang sebarang perlakuan jenayah. 

POLIS CARI SUSPEK KES BUNUH


Kuala Lumpur, 18 Jun - Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian bunuh di Jalan 1/77B, Off Jalan Imbi pada pagi Ahad lepas agar tampil memberi maklumat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata pihaknya juga sedang mencari suspek kes bunuh itu yang dipercayai berusia lingkungan 50-an, tinggi lebih kurang 5 kaki 5 inci, berbadan kurus, berambut pendek dan pada masa kejadian memakai kemeja-T berwarna krim dan berseluar panjang gelap.

Polis juga sedang mencari seorang lelaki Cina seperti tertera dalam gambar, dipercayai dapat membantu polis menjalankan siasatan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat ASP Kamarul Rizal di talian 016-3660454 atau talian pejabat 03-26002222.

Pada Ahad lepas, seorang lelaki Cina berusia 54 tahun maut setelah ditikam dengan objek tajam di rusuk sebelah kiri dalam kejadian di Jalan 1/77B, Off Jalan Imbi pada 10.50 pagi.

Menurut saksi, sebelum kejadian mangsa bergaduh dengan seorang lelaki dan suspek itu memegang senjata yang dibalut dengan kertas surat khabar sebelum beredar.

Mangsa kemudiannya masuk ke dalam kereta sebelum dijumpai mati, katanya. BERNAMA

Selasa, 18 Jun 2013

Peguam didakwa menipu lelaki babitkan RM2.3 juta

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan kes seorang peguam yang dituduh menipu seorang lelaki membabitkan RM2.3 juta dua tahun lalu.
Leng Kok Ooi, 60, bersama seorang lagi yang telah dituduh Gabriel Youshua
a/l Moses, 55, didakwa menipu Chang Chin Fooi, 42, untuk mempercayai geran tanah GM5909, Lot 950, 4th Miles Batu Road Mukim Batu di sini adalah sah.
Berikutan itu dia mendorong mangsa membuat pembayaran RM2,395,640 sebagai cagaran untuk pembelian tanah itu.
Leng yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di 815 Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, Blok E, Phileo Damansara 1, Seksyen 16, di sini pada 4 Nov hingga 28 Dis 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin dan memohon agar pasport tertuduh diserahkan pada mahkamah. - Bernama



Gejala sosial: Lesen kafe siber di KL, Labuan dibeku

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pengeluaran lesen kafe siber di Kuala Lumpur dan Labuan akan dibeku buat sementara dalam usaha kerajaan membanteras masalah sosial di premis itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, tindakan itu terpaksa diambil untuk mengatasi masalah kafe siber yang ada di antaranya bertukar menjadi tempat judi siber dan tindakan pemilik kafe siber menyalahguna lesen yang telah diberi kepada mereka.

"Putrajaya tidak terlibat kerana tidak ada kafe siber di sana. Masalah ini tidak boleh dibiarkan lagi kerana masalah kafe siber yang menyalahgunakan lesen ini sudah terjadi berulang kali," katanya kepada pemberita selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...