Rabu, 18 Disember 2013

PERKUKUH JARINGAN KESELAMATAN



Syarikat A&M Reality Berhad mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah organisasi Polis Bantuan yang bertujuan untuk membanteras dan mencegah jenayah di kawasan-kawasan ladang dan berhampiran. 

Penubuhan Polis Bantuan melalui syarikat ini juga dapat mengambil tindakan awal sekiranya berlaku kes-kes jenayah di kawasan hartanah milik syarikat tersebut.

Majlis Penyerahan Sijil Lulus Penubuhan Polis Bantuan kepada A&M Reality Berhad telah disempurnakan oleh CP Dato' Wira Ayub bin Hj Yaakob, Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Polis Diraja Malaysia pagi tadi.

OPS API BURU DUA PENJENAYAH LEPASKAN TEMBAKAN TERHADAP POLIS KETIKA SERBUAN

Gambar hiasan


Kota Baharu, 17 Dis - Polis Kelantan melancarkan Ops Api untuk memburu dua penjenayah bersenjata api yang melepaskan satu das tembakan kepada sepasukan anggota polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok, petang ini. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, melakukan serbuan ke rumah berkenaan yang disyaki sarang penagih dadah. 

"Seorang lelaki yang berada di hadapan rumah tersebut bertindak melarikan diri dan masuk ke dalam rumah itu sebelum anggota polis terdengar pintu belakang rumah tersebut dibuka. 

"Mengsyaki sesuatu, pasukan polis telah pergi ke belakang rumah dan terlihat dua lelaki melarikan diri ke dalam semak belakang rumah dan salah seorang daripada suspek telah melepaskan satu das tembakan yang terkena dinding rumah itu," katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui tiga butir peluru hidup jenis .38 dalam laci meja manakala di luar rumah ditemuui dua motosikal, katanya. - BERNAMA

Selasa, 17 Disember 2013

Polis Pulau Pinang ambil tindakan terhadap anggota tampar orang awam

GEORGE TOWN - Anggota polis yang dipercayai terbabit dalam kejadian menampar orang awam di Bayan Baru kini ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, langkah itu diambil sementara menunggu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Anggota polis berkenaan sudah ditukarkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahim turut menegaskan PDRM tidak berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang melakukan kesalahan sehingga mencemarkan nama dan imej PDRM.
"Arahan telah dikeluarkan kepada semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan ketua formasi untuk memastikan semua pegawai dan anggota di bawah seliaan mereka melaksanakan tugas mengikut undang-undang.
"Jangan sesekali bertindak di luar batasan serta melakukan perkara yang mencemarkan imej pasukan,” tegasnya.
Kenyataan Abdul Rahim itu adalah susulan penyebaran rakaman video menerusi laman sosial sejak Jumaat lepas yang memaparkan perbuatan seorang anggota polis menampar seorang individu dipercayai warga asing, kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah klinik swasta di Bayan Baru. - Bernama

Pengawal Keselamatan Larikan RM250,000

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan melarikan wang tunai berjumlah RM250,000 dari van yang dipandunya semasa dua lagi rakannya sedang memindahkan sejumlah wang ke Maybank di Wisma Consplant, Subang Jaya pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi ketika suspek yang dikenali sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, 30, yang sedang menunggu rakan-rakannya melakukan tugas mereka, tiba-tiba melarikan van yang berisi wang tersebut.
"Mereka ditugaskan untuk mengambil wang hasil jualan hujung minggu di beberapa premis perniagaan di sekitar Shah Alam dan di dua buah stesen minyak di Kesas (Lebuhraya Shah Alam) bagi tujuan mendeposit wang tersebut ke dalam bank.
"Wang berkenaan merupakan milik dua buah stesen minyak dan sebuah restoran makanan segera yang ditinggalkan dalam van itu sebelum dideposit ke dalam Maybank di dalam bangunan wisma tersebut," katanya kepada Bernama.
Yahaya berkata, dua rakan pengawal tersebut yang kembali setelah menghantar wang ke bank itu mendapati suspek bersama van itu tidak lagi kelihatan di situ.
Mereka kemudiannya menghubungi rakan mereka dengan alat walkie-talkie tetapi gagal, lalu kedua-duanya membuat laporan polis.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan suspek tidak mempunyai senjata dan baru sahaja berkhidmat di syarikat keselamatan itu pada 1 Oktober lepas.
Syarikat tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2005 menawarkan khidmat penghantaran wang kutipan jualan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pelanggan, katanya.
Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - BERNAMA

Isnin, 16 Disember 2013

Perompak larikan RM270,000 wang ATM di Cheras

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Tiga penjenayah melarikan wang tunai RM270,920 selepas memecah dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Taman Cheras Utama, Batu 9, Cheras di sini.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, kumpulan itu dipercayai menggunakan gas oxy-acetylene untuk memecahkan mesin ATM milik dua bank berlainan berada pada jarak 15 meter antara satu sama lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritenden Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu seorang penyelia pengawal keselamatan pasar raya tersebut pada 7.10 pagi.
"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ketiga-tiga suspek lelaki itu didapati tidak memakai topeng muka tetapi rakaman itu kabur.
"Namun, mereka kelihatan begitu mahir ketika melakukan rompakan itu," katanya.
Siasatan awal mendapati ada kesan terbakar di kedua-dua mesin ATM itu.
"Kita turut menemui sebatang skru drebar dan empat kesan tapak kasut ditempat kejadian," jelasnya.
Pasar raya itu hanya menggaji pengawal keselamatan dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...