Khamis, 26 Disember 2013

Geng tebuk kedai emas di Besut dikenal pasti


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengenal pasti kumpulan suspek warga asing yang terlibat dalam kes samun dengan menebuk dinding kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek Besut Isnin lepas.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan kumpulan dianggotai empat hingga enam lelaki itu yang turut terlibat dalam kes samun di sebuah pasar raya di Hulu Terengganu Ogos lepas.

"Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan ini turut terlibat memecah masuk sebuah pasar raya dengan cara sama iaitu menebuk dinding dan kita sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat.

"Hasil siasatan awal kita juga memperoleh lakaran wajah kesemua suspek dan percaya kesemua suspek yang berusia 20 hingga 30 tahun itu masih bersembunyi dalam negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan ini menyasarkan kedai di kawasan terpencil dan tidak sibuk yang mana suspek akan membuat tinjauan dan mengenal pasti kedudukan peti besi terlebih dahulu sebelum memecah masuk kedai itu.

"Kumpulan ini sangat profesional, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk menebuk dinding serta melarikan barangan berharga di kedai yang menjadi sasaran mereka," kata Manoharan.

Isnin lepas, pemilik kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek Besut kerugian setengah juta ringgit selepas kedainya dipecah masuk perompak yang meloloskan diri melalui dinding yang ditebuk dari kedai barangan plastik bersebelahan.


Penjenayah berkenaan memasuki kedai barangan plastik itu melalui lubang sisip angin tandas sebelum melakukan kerja mengorek antara 8 malam hingga 2 pagi pada dinding belakang kedai berkenaan. - Bernama

Rabu, 25 Disember 2013

KANAK-KANAK MENINGGAL DIPERCAYAI DIDERA DI PUSAT JAGAAN



Kuala Lumpur, 24 Dis - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera di pusat penjagaan di Kuantan, Pahang. 

Norain Natasyah Abdullah meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur pagi semalam selepas dihantar ibunya Zuraidah Jasman pada Sabtu lepas setelah mendapati anaknya mengalami sawan, tubuhnya keras dan tidak sedarkan diri. 

"Doktor memberitahu keadaan Norain tenat selain otaknya tidak ada oksigen," katanya yang telah berpindah ke sini. 

Beliau yang berpisah dengan suaminya berkata anak bongsu dari enam beradik itu dihantar ke pusat penjagaan itu bersama empat lagi anaknya selama tiga tahun. 

Zuraidah, 31, berkata abangnya pernah memberitahunya Norain sering didera ketika dihantar ke pusat penjagaan tersebut. 

Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Salak Selatan petang tadi. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

"Bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat unsur jenayah dan kita akan buat tangkapan dalam masa terdekat," katanya. - BERNAMA

Tiga suspek cuba rompak syarikat pinjaman wang diburu



KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu tiga lagi suspek yang cuba merompak sebuah syarikat pinjaman wang berlesen di Batu 4 1/2, Jalan Ipoh di sini Khamis lalu. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata suspek yang berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu pada mulanya gagal memasuki premis itu apabila terperangkap antara laluan tangga dalam premis yang menempatkan syarikat itu.


"Akibat terperangkap, seorang daripada mereka yang berusia lingkungan 40-an dan memakai topeng melepaskan enam das tembakan ke arah pintu hadapan dan ruang tamu syarikat itu yang terletak di tingkat satu untuk melepaskan diri. 


"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki bersama seorang wanita cuba untuk memecah masuk syarikat itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. 

Pada masa yang sama, polis dapat menahan wanita itu bersama seorang suspek lelaki sementara tiga lagi rakan mereka dapat meloloskan diri. 

Khairi berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan hanya kebetulan melalui premis terbabit untuk berurusan pinjaman wang ketika rompakan berlaku dan tidak terlibat dalam cubaan rompakan itu. 

Katanya, wanita berkenaan kemudiannya dibebaskan. BERNAMA

Selasa, 24 Disember 2013

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA PERAYAAN HARI KRISMAS 2013



Saya dan keluarga serta pucuk pimpinan PDRM mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh warga PDRM dan warganegara Malaysia yang beragama Kristian agar meraikannya dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tersayang.

Krismas yang juga dikenali sebagai Hari Natal, merupakan perayaan bagi penganut Kristian yang disambut pada tanggal 25 Disember setiap tahun. Perayaan ini dimeriahkan lagi dengan tradisi pemberian hadiah, sambutan keagamaan di gereja, dan peragaan pelbagai hiasan termasuk pokok Krismas, lampu hiasan, daun mistletoe, dan lakonan semula kelahiran Jesus. 

Bagi kanak-kanak dari keluarga penganut Kristian, perayaan Hari Krismas sentiasa membawa keceriaan kerana akan mendapat hadiah yang diidamkan daripada Santa Claus. 

Saya berharap semoga perayaan Krismas ini akan dapat mempertingkatkan lagi kemesraan dan mengeratkan hubungan sesama kita dengan menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh sahabat-handai penganut agama Kristian. 

Tradisi kunjung mengunjungi serta hormat menghormati ini hendaklah diteruskan sebagai lambang perpaduan pelbagai kaum di negara kita amnya sekali gus mengeratkan lagi hubungan polis dan masyarakat khususnya demi menuju ke arah masa hadapan negara yang harmoni. 

Minta, terima suapan daripada tahanan

Minta, terima suapan daripada tahanan

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak salah di mahkamah sesyen di sini, semalam, atas tuduhan meminta dan menerima suapan dari seorang pesalah dadah, tahun lalu.

Tuduhan terhadap anggota yang bertugas di sebuah balai di Tumpat itu dibuat di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Marzuki Ibrahim, 33, dari Kampung Kelaboran didakwa pada tuduhan pertama bersetuju menerima rasuah RM50 daripada Tan Jeoy Lai sebagai dorongan tidak diambil tindakan terhadap lelaki itu.

Jeoy Lai dipercayai gagal lapor diri mengikut perintah Pengawasan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara pada tuduhan kedua, Marzuki didakwa cuba memperoleh suapan berjumlah RM300 daripada lelaki sama atas dorongan yang sama.
Kesalahan dilakukan di Jalan Pasir Pekan pada jam 4 petang, 22 Mei, namun, tertuduh menafikan kesemua tuduhan itu.

Susulan daripadanya, Mohd Yusoff menangguhkan kes untuk pengurusan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000. Dia kemudian membayar jaminan itu.

Kes bersambung 26 Januari depan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Sophian Zakaria.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...