Sabtu, 24 Mei 2014

Kerajaan kaji semula pengguna cermin gelap


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan, kata Pemangku Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 


Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata bahawa Kementerian Pengangkutan sedia maklum mengenai pandangan dan maklum balas rakyat yang beranggapan peraturan dan undang-undang berhubung penggunaan cermin gelap ketinggalan zaman. 


"Susulan daripada pandangan dan maklum balas ini, saya ingin memaklumkan kementerian sedia mengkaji dan meminda semula peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan. 

"Saya telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 



Jumaat, 23 Mei 2014

Perintah berkurung di Thailand


BANGKOK: Hanya beberapa jam selepas rampasan kuasa diisytiharkan, tentera Thailand mengumumkan beberapa langkah seperti perintah berkurung dan menghentikan program biasa dalam televisyen.
Majlis Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam, yang diwujudkan selepas rampasan kuasa itu, akan menyelia keadaan di negara itu. 
Majlis itu mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara mulai 10 malam hingga 5 pagi dan kesemua stesen radio dan televisyen diarah menghentikan rancangan seperti biasa. 

Sebaliknya stesen siaran dan saluran program asing perlu menyiarkan bahan yang dibekalkan oleh tentera dengan sebahagian besar adalah lagu-lagu patriotik dan pengumuman oleh tentera dari masa ke semasa.

Majlis itu turut mengumumkan bahawa kerajaan sementara dibubarkan dan Perlembagaan digantung tetapi Dewan Senat, mahkamah dan pertubuhan badan-badan bebas boleh meneruskan fungsi masing-masing.

Kaji akta liputi ketum akan disegerakan

Georgetown: Kaki ketum pasti tidak senang duduk apabila satu kajian bagi meminda Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 akan dilakukan Kementerian Dalam Negeri untuk memantapkan lagi sistem perundangan negara dalam memerangi dadah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya mengkaji semula akta terbabit dan antara perkara diberikan perhatian larangan penggunaan daun ketum kepada orang awam diletakkan dalam Jadual Pertama ADB 1952. 
“Dengan pindaan akta ini, hukumannya dapat ditingkatkan selain turut membenarkan penghapusan ladang ketum di seluruh negara daripada terus beroperasi,” katanya selepas melawat Caring Community House, di sini, semalam.

Khamis, 22 Mei 2014

TEMPOH 5 MINIT - RM165,000 DILARIKAN 4 SUSPEK


BESUT - Sekumpulan empat penjenayah bertopeng mengambil masa hanya lima minit untuk melarikan wang tunai RM165,000 selepas bertindak menarik keluar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank dekat bandar Jertih di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5.45 pagi hingga jam 6 pagi sebelum disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas meronda di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pengawal keselamatan terbabit mendapati sebuah mesin ATM berada di atas jalan depan bank tersebut, manakala pintu cermin ruang mesin ATM itu pecah berselerak.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (cctv) mendapati, empat suspek menggunakan kereta Proton Waja dipercayai untuk menarik dan memecahkan mesin ATM itu sebelum melarikan wang tunai yang ada,” katanya.

TAHNIAH - SAZALI DIJULANG ATLET TERBAIK MALAYSIA


JAGOAN bina badan, Sazali Samad dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2013 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara malam tadi.

Sazali dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas kejayaannya meraih gelaran Mr. Universe untuk tahun kelima berturut-turut di Hungary pada November tahun lalu.

Ia merupakan anugerah Olahragawan Kebangsaan kali ketiga yang disandang Sazali selepas edisi 2000 dan 2006.

Lebih menarik, Sazali mengetepikan penerima Olahragawan Kebangsaan 2011 dan 2012 yang juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Walaupun saya sudah dapat dua kali tetapi hendak menang bukan mudah kerana nak lawan dengan pencapaian yang dilakukan Chong Wei juga bukan mudah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...