Jumaat, 30 Mei 2014

DUA WANITA YANG DICULIK DI SABAH BERJAYA DISELAMATKAN


Kuala Lumpur, 30 Mei - Hasil kecekapan pegawai dan anggota Cawangan Khas PDRM serta bantuan yang diberikan oleh pihak berkuasa Filipina telah berjaya menyelamatkan dua wanita yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pulau di Semporna, Sabah April lalu.

Kedua-dua mangsa, pelancong dari China Gao Huayuan, 29, dan pekerja resort Singgahmata Adventures Reef and Resort, Marcy Darawan@Mimi, 40, turut dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Ketua Polis Negara mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan tersebut melalui twitter rasmi beliau @KBAB51, sebentar tadi.

TERJUN KE DALAM SUNGAI SARAWAK SELEPAS LANGGAR ANGGOTA POLIS


Kuching, 30 Mei - Seorang penunggang motosikal melanggar anggota polis sebelum dia melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Sarawak malam tadi.

Dia dipercayai berbuat demikian kerana menunggang motosikal yang dicuri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Operasi), Supt Fauzilan Abdul Aziz berkata kejadian berlaku kira-kira 9.10 malam apabila beberapa anggota polis yang berbasikal di Lebuh Java menahan suspek.

"Suspek kemudiannya terjatuh sebelum dia bangun meninggalkan motosikalnya dan melarikan diri sambil dikejar beberapa anggota. Suspek kemudiannya dikesan terjun ke dalam sungai.

Khamis, 29 Mei 2014

Polis Buru Askar Tembak Rakan Di Lahad Datu


LAHAD DATU: Polis melancarkan operasi memburu seorang askar yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di sebuah kedai di sini, awal pagi Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, mereka telah mengenal pasti suspek dan sedang mempergiatkan usaha memburu askar tersebut yang dipercayai menembak rakannya itu kira-kira pukul 4.45 pagi.

"Kami telah mengenal pasti suspek dan akan terus menahannya sebaik saja dia ditemui," kata Hamza ketika dihubungi.

Hamza berkata, dua orang awam yang cedera dalam insiden itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Rabu, 28 Mei 2014

BERTINDAK PERLU IKUT SOP DAN UNDANG-UNDANG

Penahanan Salah: Lima Peguam Menang Saman Terhadap Polis Dan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penahanan lima peguam lima tahun lepas oleh adalah salah dan tidak sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara mengarahkan Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Syuhaini Safwan dan Ravinder Singh Dhalliwal diberi ganti rugi am RM15,000 serta ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM60,000 setiap seorang.

Beliau turut mengarahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM60,000 kepada Fadiah, Murnie, Puspawati dan Syuhaini manakala Ravinder sebanyak RM40,000.

Dalam penghakimannya, O'Hara berkata penahanan kelima-lima peguam terjumlah kepada penahanan salah dan menafikan hak perlembagaan mereka serta akses untuk diwakili peguam.

Beliau berkata mahkamah mendapati keterangan DSP Judy Blacious Pereira atau Jude kerap berubah.


KEUPAYAAN POLIS PERLU SEIRING DENGAN PEMBANGUNAN NEGARA


Batu Pahat, 27 Mei - Pembangunan ekonomi dan sosial semasa memerlukan peningkatan keupayaan polis bagi membolehkan perkhidmatan itu berhadapan dengan persekitaran yang lebih kompleks, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pasukan polis perlu diberikan prasarana yang terbaik bagi membolehkannya berada di tahap selari dengan pembangunan negara.

"Kelengkapan logistik dan prasarana yang terkini merupakan satu keperluan dalam melahirkan perkhidmatan polis berkelas dunia," katanya pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat bernilai RM61 juta di sini hari ini.

Perkhidmatan polis, katanya, tidak boleh ketinggalan kerana persekitaran dunia ketika ini begitu dinamik dalam serba serbi menyentuh pelbagai fenomena sosial dan penjenayahan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...