Sabtu, 4 Mei 2013

TIGA MAYAT PENGGANAS SULU DIJUMPAI DI KAMPUNG TANJUNG BATU


Kota Kinabalu, 3 Mei - Pasukan keselamatan menemui tiga rangka mayat pengganas dari selatan Filipina dalam kawasan semak di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu dekat sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata rangka mayat itu ditemui pada pukul 2.05 petang Khamis semasa pasukan keselamatan membuat rondaan yang turut menyaksikan penemuan selaras senjata, beberapa butir peluru dan dokumen yang menunjukkan mereka adalah pengganas Sulu.

"Kami percaya mayat-mayat ini sama ada ditembak mati pada 6 Mac lepas atau semasa anggota keselamatan mengadakan operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua rangka mayat itu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Dengan penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mayat yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan sehingga kini ialah 59 mayat manakala jumlah musuh yang ditembak mati ialah 73 orang.

#PRU13 #GE13: ENAM BOOKIE PRU13 DITAHAN, KUMPUL WANG PERTARUHAN HAMPIR RM1 JUTA


George Town, 3 Mei - Polis Pulau Pinang hari ini menahan enam 'bookie' yang telah mengumpul wang pertaruhan sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hampir RM1 juta sejak dua minggu lalu.

Jurucakap PRU13 Kontinjen Negeri, ACP Roslee Chik berkata para bookie itu ditahan di sekitar Datok Keramat, Paya Terubong dan Relau pada pukul 5 petang tadi.

"Mereka membuat urus niaga melalui panggilan telefon kepada pelanggan dan wang pertaruhan akan dimasukkan ke dalam akaun yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat, 3 Mei 2013

#PRU13 #GE13: AMARAN KERAS TERHADAP PIHAK YANG CETUSKAN KEKECOHAN AHAD INI


Kuala Terengganu, 3 Mei - Polis Terengganu memberi amaran kepada mana-mana pihak mahupun individu agar tidak mencetuskan kekecohan semasa proses pengundian pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghalang orang ramai daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Selain itu kami turut memantau pihak yang cuba menyebar khabar angin dan hasutan melalui blog mahupun khidmat pesanan ringkas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini polis Terengganu telah membuka 25 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya di negeri ini sejak 20 April lepas.

"Daripada jumlah itu tiga tangkapan dilakukan dan ketiga-tiga mereka didakwa di mahkamah kerana mencetuskan pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan," katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen polis mengeluarkan 942 permit ceramah di Terengganu dan 10 kertas siasatan dibuka kerana menganjurkan ceramah tanpa permit.- BERNAMA

ELAKKAN PROVOKASI DAN GANGGUAN PADA HARI MENGUNDI

Kuala Lumpur, 3 Mei – Polis menegah mana-mana pihak daripada melakukan sebarang provokasi atau menganggu proses pembuangan undi pada hari mengundi, Ahad ini.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Hj Ismail bin Hj Omar berkata, sebarang cubaan untuk menganggu atau menghalang hak mengundi mana-mana individu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Menurutnya, polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab melindungi hak pengundi dan memastikan proses pembuangan undi berjalan lancar tanpa gangguan.


#PRU13 #GE13 UNDANG-UNDANG DAN ANDA:


Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen 26 - Batasan pada hari mengundi.

(1) Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi -

(a) mengadakan, memanggil atau mengaturkan di mana-mana tempat apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan sama ada atau tidak perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan, ucapan atau syarahan itu terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau selainnya;

(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

(3) Sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) ialah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...