Selasa, 4 Jun 2013

Ketua Balai Polis Senai cedera ditembak penjenayah

Gambar hiasan
ALOR SETAR – Ketua Balai Polis Senai, Johor cedera ditembak ketika cuba menghalang dua penjenayah melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, Inspektor Zuwairi Ramli, 30, cedera di tapak tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Semasa kejadian, pegawai polis yang sedang bercuti bersama keluarganya itu dalam perjalanan pulang ke Johor selepas menghantar rombongan pengantin ke Pulau Langkawi.
Zuwairi dikatakan turun dari kereta dan menuju ke kedai tersebut selepas beliau berasa curiga melihat dua lelaki berada di dalam premis berkenaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, Zuwairi yang berjalan menuju ke kedai itu terus ditembak oleh salah seorang penjenayah yang ketika kejadian mahu meninggalkan kedai emas tersebut. - KOSMO!

Penyelia Syarikat Perkapalan Ditemui Mati Dalam Kereta

Gambar hiasan
JOHOR BAHARU: Seorang penyelia sebuah syarikat perkapalan ditemui mati, dipercayai dibunuh, dalam sebuah kereta di Taman Perindustrian Desa Cemerlang di sini, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Roslan Zainuddin berkata Khairul Azam Abdul Rahman, 29, ditemui orang awam pada 11 malam yang curiga dengan kehadiran sebuah kereta jenis Inokom Atos di kawasan itu. "Terdapat kesan lebam pada kepala Khairul Azam, dan bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati terdapat kesan pukulan dipercayai dengan objek keras di bahagian kepala yang menyebabkan kematian mangsa," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Beliau berkata mangsa ditemui di bahagian tempat duduk pemandu dan polis kini menyiasat kejadian itu secara terperinci mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Rahman Abdul Karim, 56, berkata anak sulung daripada dua beradik itu keluar dari rumah mereka di Bandar Baharu Uda di sini pada kira-kira 3 pagi, dua hari lepas.

Kementerian Dalam Negeri Kaji Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan & Salah Laku Polis

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menyiasat aduan berkaitan salah laku anggota penguatkuasaan di negara ini.
Timbalan Menterinya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kajian perlu dibuat tentang keberkesanan IPCMC berbanding cara lain seperti lembaga tatatertib dalaman polis, yang telah terbukti keberkesanannya kerana ia memenuhi semua keperluan untuk menangani anggota polis yang melakukan kesalahan.
"Ada pihak mendakwa apa yang ada sekarang, lebih baik daripada apa yang disyorkan melalui IPCMC. Saya perlu melihat kedua-duanya terlebih dulu dan kami akan keluarkan satu kenyataan mengenainya selepas itu," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Klinik Cure & Care 1Malaysia di Sungai Besi di sini Selasa.

Isnin, 3 Jun 2013

Pemandu bas sekolah cedera ditembak


BUTTERWORTH: Seorang pemandu bas sekolah cedera di kaki kanan akibat terkena tembakan di hadapan rumahnya di Taman Merbau, Sungai Dua di sini, tengah malam tadi. 

Dalam kejadian jam 12.21 malam itu, mangsa Chin Sai Yoke, 51, baru memakir basnya di hadapan rumah, sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan secara tiba-tiba melepaskan lima das tembakan ke arahnya. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, berkata suspek dipercayai menggunakan pistol jenis semiauto dan polis turut menemui lima kelongsong peluru di lokasi kejadian. 



"Sebutir peluru mengenai kaki kanannya manakala empat das lagi tersasar terkena bas. Lelaki itu sedang dirawat dan berada dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMA

Mesin ATM dipecah, rugi RM200,000


PASIR MAS – Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bersebelahan Bangunan Tabung Haji Pasir Mas di sini dipecah perompak menyebabkan kerugian lebih RM200,000 awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian tersebut disedari pada pukul 8.30 pagi oleh orang awam yang dipercayai mahu menggunakan perkhidmatan mesin berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan gas Oxy-Acetylene untuk memecahkan mesin ATM tersebut.

“Pemeriksaan mendapati di dalam mesin itu mengandungi wang tunai berjumlah RM217,950,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mazlan, pihaknya sedang meneliti televisyen litar tertutup di kawasan kejadian bagi membantu siasatan selain kesan cap jari.

Sementara itu, seorang pemilik kedai bersebelahan, Lim Chung Yau memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian itu pada pukul 9 pagi sebaik tiba di premisnya untuk memulakan operasi perniagaan.

“Khamis lalu saya tutup kedai pada pukul 6 petang manakala semalam (Jumaat) semua premis ditutup namun saya tidak nampak kelibat orang yang mencurigakan,” katanya.

Menurut Chung Yau, kejadian tersebut adalah yang pertama dilaporkan berlaku di kawasan tersebut sejak dia mula berniaga kira-kira 12 tahun lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...