Khamis, 26 September 2013

EMPAT LARAS SENAPANG ANGIN BUATAN SENDIRI DIRAMPAS


Tanah Merah, 25 Sept - Polis merampas empat laras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di bawah Ops Cantas Khas di sebuah pondok di Kampung Batu 5 1/2, Bendang Nyior hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Aziz Mahmud berkata dalam serbuan kira-kira 3.30 pagi itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai pemilik senapang berkenaan.

Beliau berkata polis turut menemui cecair jenis 'spirit' yang dipercayai digunakan bagi menggerakkan biji guli sebagai peluru.

"Bagaimanapun, seorang rakan suspek, yang merupakan warga Thailand, berjaya meloloskan diri ketika serbuan dilakukan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Aziz berkata suspek dipercayai mempelajari ilmu membuat senapang daripada rakannya yang melarikan diri dalam serbuan itu.

"Hasil maklumat yang diperoleh, senapang itu dijual antara RM300 dan RM350 selaras, dan ia digunakan antaranya untuk memburu binatang.

"Hasil ujian yang dilakukan, senjata itu mampu menembusi sekeping papan walaupun digunakan dari jarak 20 meter dan mampu mencederakan orang," katanya. - BERNAMA

LEBIH 11,000 INDIVIDU DALAM OPS CANTAS DI SELURUH NEGARA


Kuala Lumpur, 25 Sept - Polis menahan 11,873 individu dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan sejak 17 Ogos lalu di seluruh negara dan merampas sebanyak 401 senjata termasuk senjata api.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sehingga hari ini, polis telah memeriksa sebanyak 299,346 orang di seluruh negara.

"Kita bukan sahaja melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, malah melakukan pemeriksaan di pelbagai lokasi termasuk pusat hiburan, kawasan panas, premis persendirian dan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

"Kita juga tahan beberapa individu di bawah Akta Pertubuhan 1966 membabitkan anggota kongsi gelap dan ada yang ditahan atas kesalahan pelbagai jenayah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Abdul Jalil berkata polis turut merampas pelbagai senjata seperti parang, pistol, pedang, kapak, pistol tiruan, senapang angin buatan sendiri, 'stun gun', tukul besi, kuku kambing, pisau dan juga peluru.

Katanya polis turut memeriksa sebanyak 175,415 kenderaan sepanjang operasi itu dan merampas 502 kenderaan yang dipercayai dicuri, termasuk 236 motosikal dan 233 kereta. - BERNAMA

Rabu, 25 September 2013

Anggota polis cedera dilanggar

Anggota polis cedera dilanggar
JOHOR BAHRU – Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam patah kaki kiri dan kedua belah tangan selepas dirempuh sebuah kereta.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari kelmarin itu, Lans Koperal Mohd Redzuan dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya.

Mohd Redzuan berkata, ketika kejadian, dia sedang melakukan rondaan di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya bersama empat anggota lain sebelum mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika diarah berhenti, suspek bertindak memusingkan kenderaan terbabit dalam cubaan untuk meloloskan diri dengan keluar semula dari Jalan Kampung Baru Plentong menghala ke laluan Masai Lama.

Selasa, 24 September 2013

Suspek tembak pengasas AmBank ditangkap di Taiping

Suspek tembak pengasas AmBank sembunyi di Taiping

Suspek tembak pengasas AmBank sembunyi di Taiping

Taiping: Suspek utama kes pembunuhan pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank), Hussain Ahmad Najadi, yang ditahan di sebuah rumah di Taman Larut Tin Tambahan, di sini, dipercayai berdepan masalah kewangan dan meminta ibunya memasukkan wang ke dalam akaunnya.

Suspek yang turut berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan, diberi perlindungan oleh seorang rakannya yang juga pemilik kedai telefon. 

Sepanjang suspek berada di rumah sewa rakannya, rakan itu yang sering membelikan makanan dan membantunya mengeluarkan wangnya di bank. Berdasarkan maklumat orang ramai, rumah itu disewa kepada pemilik kedai telefon berkenaan beberapa minggu lalu dengan kadar RM200 sebulan. 

Sementara itu, seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 40, berkata rumah sewa itu dalam keadaan sunyi seperti tidak berpenghuni apabila pada waktu siang, semua pintu dan tingkap berkunci.

“Bagaimanapun pada sebelah malam, sering kelihatan individu bermotosikal datang membawa bungkusan seperti makanan ke rumah itu. Pernah sekali saya melihat suspek pada waktu siang dalam keadaan tidak terurus, namun tak sangka dia yang dikehendaki pihak berkuasa,” katanya di sini, semalam.

Turut ditahan polis, dua lelaki berusia 31 dan 26 tahun yang dipercayai membantu memberi perlindungan kepada suspek terbabit. 

PENGANGGUR 17 TAHUN DIREMAN, BANTU SIASATAN KEMATIAN POLIS DI MELAKA


Melaka, 24 Sept - Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota polis dipercayai dipukul dengan batu, semalam.

Perintah reman terhadap remaja yang tidak lagi bersekolah dan menganggur itu, dibenarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah, V.Kanasan, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pada kejadian kira-kira 8 pagi semalam, Kpl Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan mati, setelah bergelut dengan suspek di tempat kejadian, di Taman Teknologi Cheng di sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...