Selasa, 29 April 2014

Kenal pasti kawasan panas untuk atasi masalah jenayah remaja


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengenal pasti kawasan panas yang mempunyai kadar jenayah tinggi membabitkan golongan remaja bagi mengatasi masalah itu secara berkesan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Beliau berkata, pemilihan kawasan itu membolehkan punca peningkatan melebihi 100 peratus dalam statistik jenayah dalam kalangan remaja diketahui sebelum langkah sewajarnya diambil. 

"Kita mahu tahu apa yang menyebabkan berlakunya jenayah dalam kalangan remaja. Adakah ia berpunca daripada kekurangan kemudahan, pengawasan atau pendidikan. 

"Sebab itu kita akan pilih kawasan dengan kadar tinggi kejadian ini (jenayah membabitkan remaja)," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Pusat Sumber Pesakit oleh Yayasan Kesihatan Pink Ribbon di sini hari ini yang disempurnakan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. 

Rohani juga memaklumkan pemilihan kawasan panas akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu memaklumkan jenayah membabitkan remaja berusia 18 tahun ke bawah semakin membimbangkan apabila meningkat sehingga 132 peratus pada 2013 berbanding 2012 dan murid seawal usia tujuh tahun sudah mula melakukan jenayah. 

- BERNAMA 

9 terbabit militan ditahan

Kuala Lumpur: Polis menahan sembilan individu disyaki terbabit dalam kegiatan militan di negara ini dan sebahagian daripada suspek itu dikesan sudah menjalani latihan ala ketenteraan untuk melakukan keganasan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua suspek ditahan hari ini di beberapa lokasi berasingan di Kedah dan Selangor. 
Beliau berkata, suspek berusia antara 22 hingga 55 tahun itu disyaki terbabit dalam kumpulan militan yang bertanggungjawab merancang perbuatan ganas di dalam dan luar negara. 


"Mereka juga disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang beroperasi di luar negara.

"Mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, sebentar tadi.

Isnin, 28 April 2014

Polis rampas pelbagai senjata api


ALOR SETAR - Polis merampas pelbagai jenis senjata api bersama peluru susulan penahanan dua lelaki dan seorang wanita dalam sebuah rumah di Taman Anggerik, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, tiga pucuk pistol jenis Glock, VZOR Caliber 7.65mm dan revolver pistol angin yang diletakkan dalam sebuah kereta ditemui dalam serbuan kira-kira jam 5 petang.

Beliau berkata, 247 butir peluru pelbagai caliber turut ditemui dalam kereta jenis Subaru milik salah seorang suspek yang diletak luar rumah.

"Kita juga merampas sebahagian komponen senapang M16, dua alat penyerap bunyi dan satu teleskop dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

"Suspek yang juga pemilik kereta berusia 40 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk membabitkan dadah," katanya pada sidang media di ibu pejabat kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu juga mempunyai tatu di badan dan dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.

Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui dua peket dadah jenis heroin seberat 46.53 gram milik seorang lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 31 tahun yang berada di sebuah bilik atas rumah dua tingkat itu.

"Suspek yang menyimpan senjata api berasal dari Perlis dan seorang lagi dari Jitra. Suspek wanita  mempunyai satu rekod jenayah dan berasal dari Kuala Lumpur.

Ketiga-tiganya direman sehingga 3 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (1) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis Tahan Penuntut IPTS Disyaki Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas


KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Seorang penuntut perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi lelaki yang baru dilahirkan di Padang Hiliran di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K.Manoharan berkata suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan pukul 3 petang Khamis lalu setelah selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bagaimanapun, remaja itu dibebaskan tiga jam kemudian dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan ekoran keadaannya yang masih lemah," katanya kepada BERNAMA, Ahad.

Selasa lepas, penuntut itu disyaki bertindak membuang bayi lelaki yang cukup sifat ke dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di Kuala Terengganu.

Kejadian itu disedari rakan serumah penuntut berkenaan pukul 2.30 pagi selepas melihat suspek terbaring di depan pintu tandas dalam keadaan lemah selain terkejut melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas.

Manoharan berkata hasil bedah siasat mendapati bayi berusia 38 minggu itu meninggal dunia ketika dilahirkan.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil keterangan anggota keluarga suspek serta teman lelakinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

--BERNAMA

Ahad, 27 April 2014

Salah laku pelajar membimbangkan


KUALA KUBU BHARU - Masalah salah laku pelajar perlu dibendung dari awal bagi mengelak menjadi barah yang mengundang kepada kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, penubuhan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara langkah yang dapat menangani masalah tersebut selain dapat menjadikan pelajar sebagai role model di sekolah serta menjadi mata dan telinga guru mengekang masalah itu.

“Statistik jenayah pelajar di Selangor sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2013 mencatatkan angka sebanyak 873 orang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 18 tahun.

“Manakala sehingga Mac 2014 statistik menunjukkan jumlah jenayah melibatkan pelajar mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 135 orang yang berumur dalam lingkungan usia sama.

“Di sinilah peranan pegawai dan pelajar kor kadet polis diperlukan dalam membantu pihak sekolah dan polis membendung gejala salah laku dan kegiatan jenayah di dalam sekolah dari peringkat awal lagi,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Negeri Selangor, semalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...