MELAKA - Seorang juruwang sebuah bank di Alor Gajah, dekat sini, bakal berdepan hukuman penjara maksimum 1,120 tahun jika sabit kesalahan melakukan 56 pertuduhan mendepositkan cek berjumlah RM1,925,500.
Tertuduh, Roslizam Zabar, 40, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua tuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Katar di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam.
Berdasarkan pertuduhan pertama pertuduhan, Roslizam seorang yang diamanah bagi semua urusan kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Masjid Tanah dengan curangnya dan tanpa kebenaran pihak bank, didapati membuat deposit cek tidak wujud RM20,000 dan memasukkan ke dalam akaun Roslen Enterpise bernombor 04024010016444.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BIMB Kompleks Perniagaan Masjid Tanah, Alor Gajah, 15 Disember 2008.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dari Batu Gajah, Merlimau, Jasin itu juga dengan curangnya dan tanpa pengetahuan serta kebenaran pihak bank, didapati membuat deposit cek tidak wujud sebanyak RM25,000 dan memasukkan ke dalam akaun dan tempat sama 26 Disember 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, bagi 54 pertuduhan lain, dia dituduh melakukan kesalahan sama iaitu medepositkan cek bernilai antara RM5,000 hingga RM49,500 antara 5 Disember 2008 dan 17 Ogos 2010.
Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar menawarkan mahkamah jaminan berjumlah RM1 juta diberi terhadap tertuduh, selain mencadangkan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap awal bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Tertuduh diwakili peguambela, Shah Rizal Alias dan Shahrul Amali Shafie memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana akaun bank anak guamnya dibeku, walaupun digantung kerja bergaji penuh setiap bulan.
Selepas mendengar permohonan dan rayuan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, Abu Bakar membenar jaminan RM500,000 dan seorang penjamin serta menetapkan bicara mulai 13 Jun ini