KUALA TERENGGANU - Tidak serik! Walaupun sebelum ini pernah ditangkap bersama teman lelaki kerana penyalahgunaan dadah, malah ada lagi beberapa kes jenayah berkaitan yang masih dalam perbicaraan mahkamah, namun gadis bawah umur ini tidak pernah serik apabila sekali lagi ditahan awal pagi, semalam.
Gadis berusia 16 tahun itu yang tercicir pelajaran sejak Tingkatan Satu, ditahan bersama kakaknya, 20, dalam satu Ops Samseng Jalanan di sepanjang Jalan Pantai Batu Burok kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.
Ketika ditahan, gadis itu yang menunggang motosikal Honda Ex-5 bersama kakaknya didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, malah kad pengenalannya hanya berjaya ditunjukkan kira-kira 15 minit kemudian oleh seorang remaja lelaki yang mendakwa tinggal bersamanya.
Hasil pemeriksaan turut mendapati kedua-dua beradik itu yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan di Plaza Kuala Terengganu, positif ujian awal saringan air kencing jenis Methamphetamine (pil kuda).
Difahamkan, si kakak yang mengalami masalah kurang pendengaran mendakwa hanya mengambil dadah berkenaan bersama adiknya kira-kira tiga hari lalu di rumah sewa mereka di Kampung Losong bersama teman lelakinya dan tidak menyangka akan ‘kantoi’ pada hari itu.
Kedua-dua beradik ini kini direman di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah kedalam tubuh manakala gadis itu turut dikenakan saman diatas kesalahan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Sementara itu, Ketua Ketenteraman Awam Jabatan Trafik IPD Kuala Terengganu, Asisten Superintendan (ASP) Kazahari Che Mat berkata, sejumlah 38 saman dengan 43 kesalahan dikeluarkan manakala dua motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan selama empat jam bermula 12 tengah malam dan berakhir jam 4 pagi.