Ahad, 6 Mac 2011

Penagih punca pelbagai masalah jenayah

BENTONG – Penagih dadah menjadi antara faktor penyebab masalah jenayah meningkat di sesuatu kawasan tempat tinggal pada hari ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun berkata, penagih cenderung untuk melakukan jenayah seperti pecah rumah dan ragut semata-mata memenuhi keinginan mereka terhadap dadah. 

Menurutnya, mereka biasanya tidak bekerja dan terpaksa melakukan kerja mudah untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah. 

“Perbelanjaan untuk membeli dadah agak mahal menyebabkan mereka terpaksa melakukan jenayah untuk mendapatkan wang dengan segera. Oleh itu, sekiranya di sesuatu kawasan terdapat penagih dadah, segera laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. 
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Antidadah Kebangsaan Peringkat Daerah Bentong bertempat di Dewan Tun Abdul Razak Sekolah Menengah Kebangsaan (LKTP) Lurah Bilut, dekat sini. 

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Liew Kim Choon; Pegawai Antidadah Kebangsaan (AADK), Norkhamizah Mohd Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Abdullah Ab Hadi. 

Khai Mun berkata, generasi muda terutama pelajar perlu mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala penagihan dadah. 

Menurutnya, pembekal dadah akan menggunakan pelbagai taktik untuk mencari mangsa termasuk memberi dadah secara percuma pada peringkat awal sebelum menjerat mangsa apabila sudah sampai tahap ketagih dengan menjual pada harga pasaran. 

“Oleh itu, pelajar perlu peka dengan keadaan ini supaya tidak menjadi mangsa. Dalam masa sama, mereka perlu bergaul dengan rakan-rakan yang baik supaya tidak terjebak dalam situasi seperti ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...