KULIM - Seorang daripada dua lelaki berusia 20-an, dipercayai penagih dadah berjaya melarikan diri daripada serbuan polis di Jirat Cina Taman Cendana kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Jurucakap polis berkata, maklumat diterima daripada orang ramai yang ternampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan itu.
Menurutnya, setelah mengekori suspek polis kemudiannya membuat serbuan dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka. Hasil pemeriksaan, polis turut menemui peralatan menghisap dadah dalam beg suspek.
“Suspek masuk ke kawasan itu dengan menaiki motosikal Yamaha RXZ dan Honda EX5. Ketika serbuan dibuat suspek yang menaiki motosikal Honda EX5 berjaya ditangkap manakala seorang lagi rakannya meninggalkan motosikal dan melarikan diri.
“Polis kemudiannya meminta kerjasama Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mencari suspek yang melarikan diri tetapi gagal. Suspek yang ditangkap kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut manakala dua motosikal yang ditemui di tempat kejadian turut disita,” katanya.
Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, Jirat Cina Taman Cendana kini dijadikan tempat penagih untuk menghisap dadah dan gam. Selain itu, beberapa kegiatan lain seperti membuang beg hasil aktiviti ragut.
Menurutnya, walaupun polis dan PPKM membuat pemantauan di kawasan itu tetapi masalah ini masih berlaku dan dia meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya melihat ada individu atau kumpulan yang mencurigakan masuk ke kawasan itu.
“Selain aktiviti menghisap dadah dan menghidu gam, kawasan itu turut dijadikan laluan pintas untuk penjenayah melarikan diri. Selain itu, polis pernah menahan beberapa pasangan sedang melakukan hubungan seks di sekitar kawasan berkenaan pada waktu malam dan petang.
Kegiatan itu dilakukan berikutan kawasan jirat berkenaan terselindung dan berada di atas bukit,” katanya.
Eng Khim meminta kerjasama semua pihak supaya memaklumkan sebarang kejadian jenayah kepada polis atau PPKM supaya tindakan segera dapat diambil.