KUALA LUMPUR: Kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia melalui program rondaan bersama di kawasan tumpuan jenayah dijangka diperluaskan menjelang pertengahan tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, berkata keputusan itu berikutan hasil positif yang dicatat menerusi projek perintis di 15 kawasan yang dilaksana sejak November lalu.
"Program ini mungkin akan dilaksanakan di negeri lain pada pertengahan tahun ini setelah laporan kajian mengenainya disiapkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Terbuka Tentera Darat sempena Ulang Tahun ke-78 angkatan itu, di sini hari ini.
Katanya, sebanyak dua pusat latihan ATM digunakan bagi melatih rekrut polis serta mengadakan program bersama untuk memantapkan kerjasama itu. - BERNAMA